Amazon gaji 100,000 pekerja lagi

NEW YORK, 14 SEPT – Amazon berkata hari ini ia akan menggaji 100,000 orang lagi untuk memenuhi peningkatan dalam tempahan dalam talian.

Syarikat itu berkata pekerja baharu akan membantu membungkus, menghantar atau mengasingkan tempahan, bekerja dalam peranan sambilan dan sepenuh masa. Amazon berkata pekerjaan itu tidak berkaitan dengan pengambilan pekerja pada musim cuti.

Perniagaan telah berkembang di syarikat dalam talian yang berpangkalan di Seattle. Ia mencatat keuntungan dan pendapatan besar di antara April dan Jun, apabila lebih ramai orang beralih kepada syarikat itu semasa pandemik untuk membeli barang runcit dan bekalan.

Firma itu telah pun menggaji 175,000 orang pada awal tahun ini untuk memenuhi tempahan, dan pada minggu lalu berkata ia mempunyai 33,000 pekerjaan korporat dan teknologi yang perlu diisi.

Kali ini, Amazon berkata ia memerlukan pekerja di 100 gudang baharu, pusat pengasingan bungkusan dan pusat lain yang akan dibukanya pada bulan ini.

Alicia Boler Davis, yang menyelia gudang Amazon, berkata syarikat menawarkan bonus AS$1,000 di beberapa bandar di mana ia lebih sukar untuk mencari pekerja, seperti Detroit, New York, Philadelphia dan Louisville, Kentucky. Gaji permulaan di Amazon adalah AS$15 sejam.

Amazon akan memantau sama ada ia perlu menggaji lebih ramai

pekerja untuk musim cuti, tetapi tidak mempunyai apa-apa untuk diumumkan sekarang, kata Boler Davis. Tahun lalu, ia menggaji 200,000 orang sebelum cuti. – AP