Wednesday, November 13, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amazon kehilangan kawasan sebesar Jerman dan Perancis

    RIO DE JANEIRO, 24 SEPT – Hutan hujan Amazon telah kehilangan kawasan yang hampir sebesar gabungan Jerman dan Perancis akibat penebangan hutan dalam tempoh empat dekad, menyebabkan kemarau dan kebakaran hutan yang memecah rekod di seluruh Amerika Selatan, kata pakar kelmarin.

    Hutan terbesar di dunia, yang merentasi sembilan negara, adalah penting dalam usaha memerangi perubahan iklim kerana keupayaannya menyerap karbon dioksida yang memanaskan bumi daripada atmosfera.

    Namun begitu, para penyelidik mengatakan bahawa kebakaran hutan yang mencatat rekod pada tahun ini telah melepaskan sejumlah besar karbon dioksida kembali ke atmosfera.

    Pelbagai laporan saintifik telah menggariskan kaitan suram antara kehilangan hutan dan perubahan iklim serta kemusnahan yang boleh berlaku kepada manusia dan hidupan liar.

    Penebangan hutan, terutamanya untuk tujuan perlombongan dan pertanian, telah menyebabkan kehilangan 12.5 peratus tumbuhan di Amazon dari tahun 1985 hingga 2023, menurut RAISG, sebuah kolektif penyelidik dan NGO.

    Ia bersamaan dengan 88 juta hektar kawasan hutan yang hilang di Brazil, Bolivia, Peru, Ecuador, Colombia, Venezuela, Guyana, Suriname dan Guiana Perancis.

    “Sebilangan besar ekosistem telah lenyap untuk memberi ruang kepada kawasan ragut yang luas, ladang kacang soya atau tanaman monokultur lain, atau telah diubah menjadi kawah untuk perlombongan emas,” kata pakar RAISG.

    “Dengan kehilangan hutan, kita melepaskan lebih banyak karbon ke atmosfera dan ini mengganggu keseluruhan ekosistem yang mengatur iklim serta kitaran hidrologi, yang jelas memberi kesan kepada suhu,” kata Sandra Rio Caceres dari Institut Kebaikan Umum, sebuah persatuan dari Peru yang turut menyumbang kepada kajian tersebut, kepada AFP.

    Beliau percaya bahawa kehilangan tumbuh-tumbuhan di Amazon berkait secara langsung dengan kemarau teruk dan kebakaran hutan yang melanda beberapa negara di Amerika Selatan.

    Perkhidmatan pemantauan atmosfera Copernicus berkata kelmarin bahawa kebakaran di hutan Amazon dan tanah lembap Pantanal adalah yang terburuk dalam hampir dua dekad. – AFP

    Kawasan hutan hujan Amazon yang ditebang secara haram melalui kebakaran di perbandaran Labrea, Negeri Amazonas, Brazil, pada 20 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda