Amazon lancar farmasi dalam talian di India

MUMBAI, 14 OGOS – Syarikat teknologi Amerika Syarikat Amazon melancarkan perkhidmatan farmasi dalam talian pertama di India hari ini tatkala ia berusaha merebut lebih banyak pasaran e-dagang di negara itu.

Amazon sedang bergelut dengan Flipkart dan JioMart, dimiliki oleh lelaki terkaya India, Mukesh Ambani, serta syarikat tempatan di pasaran besar yang terdiri daripada 1.3 bilion penduduk.

India telah menyaksikan hampir 2.5 juta jangkitan koronavirus disahkan, lebih daripada mana-mana negara lain selain AS dan Brazil – dan firma penjagaan kesihatan baharu melihat permintaan besar untuk perkhidmatan itu akibat pandemik.

Pelanggan di Bangalore, hab IT India, boleh memesan preskripsi dan ubat tanpa preskripsi doktor dan perkhidmatan kesihatan asas daripada penjual bertauliah, kata Amazon India dalam satu kenyataan.

“Ia adalah relevan sekarang kerana ia membantu pelanggan memenuhi keperluan asas mereka sementara kekal selamat di rumah,” kata Amazon.

Firma yang dimiliki oleh Jeff Bezos, orang terkaya di dunia, juga akan menjalankan projek perintis di bandar lain di India, beritahu jurucakap syarikat kepada AFP.

Amazon telah pun menawarkan jualan farmasi dalam talian di AS dan beberapa negara Eropah, dan telah mendaftar cap dagang ‘Amazon Pharmacy’ di tempat lain, tambah jurucakap.

Pasaran kesihatan digital India diramalkan meledak dari kira-kira AS$4.5 bilion dalam tahun kewangan sekarang kepada AS$25 bilion pada 2025, menurut agensi perunding RedSeer. – AFP