Amazon lancar penstriman permainan video Luna

SAN FRANCISCO, 25 SEPT – Amazon semalam melancarkan perkhidmatan penstriman permainan video Luna, sekali gus mencabar Microsoft dan Google dalam segmen yang berkembang pesat itu.

Pemain di Amerika Syarikat (AS) dijemput untuk meminta akses awal kepada Luna, yang menggunakan pengawal permainan video untuk menyambung secara langsung kepada permainan yang dianjurkan di pusat data Perkhidmatan Web Amazon untuk menyiarkan penstriman yang dimainkan menerusi Fire TV serta komputer peribadi.

Aplikasi Luna untuk alat mudah alih bakal dilancarkan, menurut Amazon, yang menetapkan perkhidmatan baharu itu pada harga pengenalan bulanan sebanyak AS$6.

“Perkhidmatan penstriman Amazon ialah satu idea yang baik dengan model perniagaan sukar,” kata penganalisis Wedbush Michael Pachter di Twitter.

“Saya fikir mereka akan memperoleh apa yang diperlukan, tetapi mereka bermula dengan model besar dan tidak banyak pembekal.”

Luna bersaing dengan Microsoft xCloud dan Google Stadia dalam satu peralihan untuk bermain permainan video secara langsung dalam ‘awan.’

“Ia adalah hari pertama untuk Luna,” kata naib presiden peranti dan perkhidmatan hiburan Amazon Marc Whitten.

“Kami berasa teruja untuk bekerjasama dengan pemain, syarikat penstriman dan penerbit seperti Ubisoft dan Remedy Entertainment untuk memberikan pengalaman permainan yang hebat untuk semua orang.”

Amazon juga mengumumkan saluran permainan di Luna yang didedikasikan kepada Ubisoft, dengan pelanggan boleh mengakses kepada judul popular syarikat permainan video Perancis seperti Assassins Creed Valhalla dan Far Cry 6. – AFP

Gambar fail menunjukkan logo Amazon di pusat Amazon di Staten Island. Amazon melancarkan perkhidmatan penstriman permainan video Luna kelmarin. – AFP