Amazon lancar sistem bayaran tapak tangan

WASHINGTON, 30 SEPT – Amazon semalam melancarkan sistem bayaran biometrik baharu menggunakan pengecaman tapak tangan, bakal disediakan kepada peruncit dan juga dipromosi sebagai pengganti kepada lencana untuk memasuki stadium atau tempat kerja.

Sistem yang digelar Amazon One itu dianggap sebagai ‘cara yang pantas, senang, tanpa kontak untuk orang menggunakan tapak tangan mereka dalam menjalankan aktiviti harian seperti membayar di kedai, menunjukkan kad, memasuki lokasi seperti stadium atau memasuki tempat kerja lebih senang.’

Syarikat gergasi teknologi AS itu berkata ia akan memasang sistem tersebut di lokasi runcit Amazon Go, bermula dengan dua kedai di Seattle, Washington.

Naib presiden Amazon Dilip Kumar berkata sistem itu dibangunkan sebagai ‘cara segera, boleh dipercayai dan terjamin untuk orang memperkenal diri mereka atau menjalankan transaksi sementara menjalankan urusan harian mereka.” Amazon One menggunakan ‘tandatangan tapak tangan yang unik’ setiap individu, satu alternatif kepada penggunaan biometrik lain seperti cap jari, iris atau pengecaman wajah.

“Tidak ada dua telapak tangan yang serupa, maka kami menganalisis kesemua aspek berkenaan dengan teknologi penglihatan kami dan memilih sistem pengecaman yang paling ketara di atas tapak tangan anda untuk mewujudkan tandatangan tapak tangan,” kata Kumar dalam blog.

Di kedai Amazon Go, sistem lambaian tapak tangan akan ditambah kepada pintu masuk kedai sebagai satu opsyen untuk pembeli-belah.

Pengumuman itu keluar di tengah pertumbuhan pesat dalam penggunaan bayaran biometrik daripada pengesanan ibu jari di telefon pintar kepada sistem lebih canggih menggunakan pengecaman wajah. – AFP

Gambar fail menunjukkan peranti Amazon One di sebuah kedai Amazon Go di Seattle. Amazon telah memperkenalkan teknologi pengecaman tapak tangan baharu di dua kedai Seattle. – AP