SAN FRANCISCO, 3 MAC – Sebuah syarikat e-dagang, Amazon kelmarin mengesahkan rancangan untuk menutup beberapa buah kedainya seperti kedai buku untuk memberi tumpuan kepada rangkaian runcit dan kedai runcit Whole Foods yang menampilkan teknologi keluar secara automatik terbaharunya.
Menurut jurucakap, syarikat itu akan menutup kedai Amazon 4-bintang, Books dan Pop Up.
Kedai 4-bintang Amazon membawa pilihan barangan yang dipilih susun, semuanya telah dinilai 4 bintang atau lebih di laman sesawang runcit syarikat.
Syarikat yang berpangkalan di Seattle itu dijangka menutup 66 buah kedai di Amerika Syarikat (AS) dan dua lagi di United Kingdom (UK).
“Kami tetap komited untuk membina pengalaman dan teknologi runcit fizikal jangka panjang yang hebat,” kata seorang jurucakap semasa menjawab pertanyaan AFP.
“Kami bekerjasama rapat dengan pekerja kami yang terjejas untuk membantu mereka mencari peranan baharu dalam Amazon,” tambahnya.
Menurut syarikat itu, penutupan itu adalah sebahagian daripada peralihan dalam strategi untuk memberi lebih tumpuan kepada kedai Amazon Fresh, Whole Foods Market, Amazon Go dan Amazon Style serta teknologi ‘Just Walk Out’, yang membolehkan pelanggan menyelesaikan bayaran mereka dengan tanpa mesin daftar tunai.
Amazon merancang untuk terus membuka kedai ‘inovatif’, termasuk kedai Style di Los Angeles yang akan menjadi kedai pakaian pertamanya.
Kedai Amazon Style yang akan dilancarkan pada akhir tahun ini akan membenarkan pelanggan menggunakan aplikasi peruncit untuk mengimbas kod QR pada pakaian, memilih saiz dan warna yang berlainan, kemudian menghantar barangan tersebut ke bilik persalinan untuk dicuba, menurut catatan blog. – AFP