Amazon wujudkan 7,000 kerja tetap di UK

LONDON, 3 SEPT – Amazon akan mewujudkan 7,000 pekerjaan tetap di UK menjelang akhir tahun, umum syarikat e-dagang Amerika itu hari ini dalam satu rangsangan untuk ekonomi Britain yang terjejas oleh pandemik.

“Syarikat itu akan menambah 7,000 jawatan tetap baharu pada akhir 2020 di lebih daripada 50 lokasi, termasuk pejabat korporat dan dua pusat baharu,” kata Amazon dalam satu kenyataan, menambah jumlah tenaga kerja tetap di UK akan melebihi 40,000, meningkat satu pertiga dalam setahun apabila pandemik mencetuskan pertambahan dalam aktiviti membeli-belah dalam talian.

Sementara beberapa peruncit Britain telah mengurangkan ribuan pekerja berikutan sekatan negara, yang lainnya termasuk pasar raya Tesco sedang mewujudkan sejumlah besar jawatan baharu untuk menghadapi peningkatan aktiviti membeli-belah dalam talian.

Stefano Perego, naib presiden Amazon, berkata syarikatnya sedang ‘menggaji ribuan individu berbakat dalam pelbagai jawatan daripada pengurus operasi dan profesional teknologi kepada orang mengendalikan tempahan pelanggan’ di seluruh UK.

“Pekerja kami telah memainkan peranan penting kepada pelanggan dalam masa sukar ini dan jawatan baharu akan membantu kami memenuhi permintaan pelanggan dan menyokong perniagaan penjualan saiz kecil dan sederhana di Amazon,” tambahnya.

Amazon, yang telah pun mewujudkan 3,000 pekerjaan tetap baharu di UK pada tahun ini, menambah hari ini bahawa ia akan menawarkan lebih daripada 20,000 jawatan bermusim di seluruh negara sebelum tempoh perayaan.

Setiausaha Perniagaan Alok Sharma mengalu-alukan pengumuman Amazon, dengan pengangguran UK dijangka meningkat selepas kerajaan pada bulan depan menamatkan skim cuti dari bertugas COVID-19 yang membayar gaji untuk berjuta-juta pekerja sektor swasta. – AFP

Gambar pada 27 November 2019 menunjukkan pekerja Amazon mengasingkan dan membungkus barangan di Pusat Amazon di Peterborough, timur England sebagai persediaan untuk Jualan Black Friday. – AFP