BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) akan mengeluarkan mata wang kertas polimer kenang-kenangan ‘Uncut Block’ $1 siri terbaru bagi Negara Brunei Darussalam.
Mengumumkan perkara ini dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, AMBD turut menyatakan bahawa mata wang kertas polimer kenang-kenangan berkenaan sah diperlakukan di Negara Brunei Darussalam.
Mata wang jenis $1 (35 keping) siri 2013 (keluaran 2016) itu mempunyai nilai muka $1 x 35 ($35) dan dijual pada harga $250.
Menurut AMBD, mata wang kertas polimer kenang-kenangan tersebut akan dijual kepada orang ramai di petak mereka semasa Pesta Pengguna ke-19 yang akan berlangsung pada 18 hingga 22 Januari 2017 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Selain itu, orang ramai juga boleh membeli terus dari Unit Pengurusan Matawang, AMBD, Bangunan BCMB, Kompleks Kementerian Kewangan.
































