AMBD anjur Majlis Kesyukuran Puja Usia

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Hari Puja Usia ke-46 Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al- Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Lembaga Pengarah AMBD di Masjid Suri Seri Begawan Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Kampung Madang, hari ini.

Hadir pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah AMBD, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Timbalan Mufti Kerajaan, Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin; ahli-ahli Lembaga Pengarah AMBD serta pegawai-pegawai dan kakitangan AMBD.

Menurut kenyataan AMDB, majlis itu dimulakan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Doa Khas Kesyukuran bagi DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota.

Di bawah kepimpinan Duli Yang Teramat Mulia, AMBD dan sektor kewangan Negara Brunei Darussalam, telah mengalami perkembangan yang signifikan. Ini termasuklah usaha-usaha giat Duli Yang Teramat Mulia dalam merealisasikan visi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah satu pusat kewangan Islam antarabangsa.

Dengan sokongan, nasihat dan kebijaksanaan Duli Yang Teramat Mulia, Negara Brunei Darussalam telah berjaya meraih kedudukan 10 teratas di dunia bagi perkembangan sektor kewangan Islam, menurut laporan ICD-Refinitiv Islamic Finance Development Report 2019.

Selain daripada itu, Duli Yang Teramat Mulia juga telah berjaya membuat transformasi bertaraf antarabangsa ke atas infrastruktur kewangan negara dengan penubuhan Biro Kredit dan Sistem Pendaftaran Cagaran.

Hasilnya, Brunei berjaya mendapat tempat teratas di dunia dalam World Bank Ease of Doing Business Report, Getting Credit Indicator bagi tahun 2019 dan 2020.

Atas inisiatif Duli Yang Teramat Mulia juga, pada peringkat ini, AMBD sedang mengatur langkah-langkah strategik dengan menggalakkan penggunaan teknologi dalam sistem kewangan negara melalui penerbitan Brunei Darussalam Digital Payment Roadmap dan penubuhan AMBD Fintech Regulatory Sandbox.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri menadahkan tangan ketika berdoa pada majlis itu. – Gambar serahan AMBD