AMBD anjur majlis kesyukuran

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-9 hari ini, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di Masjid Ash-Shaliheen, di ibu negara.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah AMBD; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin; ahli-ahli Lembaga Pengarah AMBD serta pegawai dan kakitangan AMBD.

Majlis dimulakan dengan sembahyang fardu Asar, diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Imam Masjid Ash-Shaliheen, Awang Anuar bin Haji Salim.

AMBD telah ditubuhkan pada 1 Januari 2011, selaku bank pusat Negara Brunei Darussalam yang berobjektif untuk mencapai dan mengekalkan kestabilan harga dalam negeri; memastikan kestabilan sistem kewangan, khususnya dengan merangka peraturan-peraturan kewangan dan piawaian yang berhemat, membantu dalam penubuhan dan perfungsian sistem pembayaran yang cekap dan untuk mengawasinya, dan menggalakkan dan mengembangkan sektor perkhidmatan kewangan yang kukuh dan progresif.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa menghadiri majlis Doa Kesyukuran sempena ulang tahun penubuhan ke-9 AMBD di Masjid Ash-Shaliheen.
Warga AMBD menadahkan tangan ketika doa dibacakan pada majlis kesyukuran itu.