Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), hari ini, telah mengadakan Majlis Bertahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah AMBD dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud. Atur cara telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Murat. Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah AMBD yang lain serta pegawai dan kakitangan AMBD.