BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Okt – Autoriti Monetari Negara Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama Inisiatif Latihan Pengawal Atur Kewangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC FRTI) dan Bank Pembangunan Asia (ADB) menganjurkan seminar serantau mengenai peraturan dan pengawalseliaan bursa saham baru-baru ini di Hotel Plaza Kiulap, Bandar Seri Begawan.
Hadir melancarkan seminar itu ialah Pemangku Timbalan Pengarah Urusan (Regulatori) AMBD, Hajah Rashidah binti Haji Sabtu yang juga menyampaikan ucapan alu-aluan.
Dalam ucapannya, Hajah Rashidah menjelaskan bahawa objektif utama pengawalseliaan kewangan adalah untuk memastikan fungsi sistem kewangan yang berkesan dan mengekalkan kestabilan kewangan. Beliau turut mengakui kepentingan bursa saham sebagai salah satu komponen yang paling dinamik dan teratur dalam sistem kewangan bagi menjana pertumbuhan ekonomi berterusan.

Beliau turut menggesa pengawal selia sekuriti untuk menjadi lebih proaktif dalam pengawasan dan pengawalseliaan pasaran bagi memastikan kestabilan pasaran dan mengurangkan risiko sistemik.
Seminar tersebut turut diisikan dengan ceramah dikendalikan oleh penceramah dan pakar berpengalaman dalam bidang pasaran modal dari ADB, Suruhanjaya Sekuriti dan Pelaburan Australia, Bursa Saham Malaysia Berhad, NASDAQ, Hong Kong Exchanges and Clearing Limited dan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS.