AMBD bertanggungjawab proses tuntutan baki akaun tidak aktif 6 tahun

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), selaku bank pusat Negara Brunei Darussalam, telah menerima sejumlah baki wang yang tidak dituntut dari bank-bank yang berlesen di Negara Brunei Darussalam dan juga bertanggungjawab untuk memproses sebarang tuntutan mengenainya daripada orang ramai.

Sehubungan itu, para pemilik bolehlah menuntut wang tersebut dengan menghadapkan permohonan kepada AMBD. Dalam permohonan tersebut, pemilik dikehendaki untuk menyertakan dokumen-dokumen tertentu bagi pengesahan.

Borang permohonan, senarai dokumen yang dikehendaki dan maklumat lebih lanjut mengenai proses ini boleh didapati di laman sesawang AMBD melalui pautan https://www.ambd.gov.bn/consumer/unclaimed-money.

AMBD dalam kenyataannya menjelaskan, baki wang yang tidak dituntut atau unclaimed money ialah wang dalam akaun bank yang tidak mempunyai sebarang aktiviti (simpanan dan pengeluaran) sekurang-kurangnya bagi tempoh enam tahun dan berjumlah sekurang-kurangnya $100. Baki wang yang tidak dituntut ditadbir di bawah Perintah Perbankan (2006) dan Perintah Perbankan Islam (2008).

Setiap tahun, bank-bank berlesen adalah dikehendaki untuk menghadapkan senarai baki wang yang tidak dituntut dan keseluruhan wang tersebut kepada AMBD.

Sebelum menghadapkan baki wang yang tidak dituntut kepada AMBD, bank-bank berlesen hendaklah berusaha untuk mengenal pasti dan menghubungi pemilik-pemilik wang yang berhak di samping memastikan wang tersebut dikembalikan kepada pemilik masing-masing.

Setelah baki wang yang tidak dituntut tersebut dihadapkan kepada AMBD, bank-bank berlesen dikehendaki untuk mengiklankan senarai baharu baki wang yang tidak dituntut yang melebihi $1,000 bagi tahun berkenaan dalam akhbar tempatan, sekurang-kurangnya dua kali setahun dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

Dalam memastikan keberkesanan pengiklanan, senarai tersebut juga adalah termasuk butiran pemilik (jika diketahui). Di samping itu, AMBD juga menerbitkan senarai penuh baki wang yang tidak dituntut bagi tahun-tahun kebelakangan di laman sesawang AMBD.

Bagi sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai unclaimed money, orang ramai boleh menghubungi AMBD di talian 2380975 atau menghantar e-mel menerusi [email protected]