AMBD keluarkan mata wang sempena Hari Keputeraan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Sempena memperingati Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Bunei Darussalam ke-73 Tahun, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) akan mengeluarkan mata wang polimer kenang-kenangan $1 berupa 2-in-1 uncut sheets.

Mata wang polimer kenang-kenangan ini akan sah diperlakukan di Negara Brunei Darussalam, AMBD mengumumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini. Kenyataan menjelaskan, mata wang kenangan-kenangan berkenaan dengan siri Tahun 2011 itu dicetak sebanyak 600 keping dan dijual pada harga $35.

Mata wang polimer kenang-kenangan berkenaan akan mula dijual kepada orang ramai pada 22 dan 23 Ogos ini di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, di sini.

Pada 22 Ogos, penjualan bermula pada 9 pagi hingga tengah hari dan 2 petang hingga 4 petang, manakala itu pada 23 Ogos pula dari 8:30 pagi hingga 11 pagi dan 2:45 petang hingga 3:45 petang.

Mata wang polimer kenang-kenangan ini adalah terhad dan setiap pelanggan hanya dibenarkan untuk membeli satu keping sahaja. Pihak AMBD memohon kerjasama pelanggan yang berminat untuk membeli mata wang polimer kenang-kenangan ini untuk membawa kad pintar dan pembayaran hanya adalah secara wang tunai sahaja.