BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), telah mengeluarkan pindaan ke atas Notis Peraturan Pengawalan Kadar-Kadar Pembiayaan dan Simpanan, kepada kesemua bank dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), yang antara lain membatalkan kadar-kadar pembiayaan maksima dan kadar-kadar simpanan minima berkuat kuasa mulai 12 Mei 2017.
AMBD dalam satu kenyataan hari ini berkata, pindaan tersebut membolehkan bank-bank untuk menawarkan sebahagian kadar pembiayaan secara kompetitif berdasarkan tahap risiko dalaman bank dan kedudukan kredit peminjam.
Selain daripada itu, beberapa kadar simpanan tetap telah dibatalkan yang membolehkan bank-bank untuk menetapkan kadar simpanan mengikut keperluan dana (funding needs) masing-masing.
Menurut AMBD, pindaan itu juga akan menggalakkan pelanggan-pelanggan untuk membuat perbandingan bagi kadar-kadar pembiayaan dan simpanan yang ditawarkan dan seterusnya meningkatkan persaingan dikalangan bank-bank.
Ini adalah selaras dengan Pillar 2 Blueprint Sektor Kewangan Brunei Darussalam (2016-2025)- iaitu ke arah institusi dan perkhidmatan kewangan yang lebih kompetitif dan inovatif.
Di samping itu, pindaan tersebut juga akan meningkatkan kecekapan dalam pengantaraan kewangan (financial intermediation) yang boleh terus menyokong pertumbuhan sektor kewangan dalam jangka masa panjang dan seterusnya meningkatkan sumbangan sektor kewangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
AMBD berkata, pindaan itu, seiring dengan peningkatan ke atas infrastruktur kewangan negara dengan penubuhan Biro Kredit pada tahun 2012, dan Sistem Pendaftaran Cagaran (Collateral Registry System) yang mula beroperasi pada Disember 2016 telah membantu institusi-institusi kewangan dalam menilai kepercayaan kredit peminjam dengan lebih mudah.
Usaha peningkatan ini akan diteruskan lagi oleh AMBD dengan pengenalan perkhidmatan credit scoring dan credit rating oleh Biro Kredit pada masa yang terdekat ini.
Menurut AMBD lagi, di bawah Notis ini, bank-bank tidak boleh mengenakan Effective Interest Rates (EIR) / Annualised Profit Rates (APR) yang berlebihan dan hendaklah menggambarkan risiko premium yang berpatutan dari kos dana masing-masing.
Bank-bank juga adalah juga dimestikan untuk menerbitkan EIR / APR dan kadar simpanan di laman web dan di setiap cawangan bank masing-masing pada setiap suku tahunan.
Dalam memastikan sektor kewangan yang berdaya saing, AMBD akan sentiasa memantau kadar-kadar di pasaran dan berhak untuk mengambil tindakan dari masa ke semasa bagi memastikan kadar-kadar yang ditawarkan kepada pengguna adalah berpatutan.
Sehubungan itu AMBD menasihatkan orang ramai untuk bersikap financially smart sebelum membuat sebarang kemudahan pembiayaan ataupun deposit, dengan meneliti kadar pembiayaan dan deposit yang ditawarkan.