AMBD lanjut tempoh bantuan kewangan COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), dengan perundingan bersama industri perbankan, memaklumkan bahawa pemberian bantuan kepada pelanggan perbankan iaitu peniaga-peniaga dan individu-individu yang terkesan akibat wabak COVID-19 dilanjutkan lagi bagi tempoh enam bulan iaitu dari 1 April 2021 hingga 30 September 2021.

AMBD memaklumkan pelanjutan berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, yang menjelaskan bahawa sejak April 2020, bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan telah menawarkan beberapa jenis bantuan bagi meringankan kesulitan kewangan yang dihadapi oleh peminjam.

Setakat Disember 2020, sebanyak 2,014 permohonan telah diberikan bantuan di mana sebilangan besar telah memilih bantuan berbentuk penangguhan pembayaran pinjaman atau pembiayaan buat sementara waktu (temporary deferment) dengan kebanyakan bantuan tersebut telah mansuh pada 31 Mac 2021.

Dalam tempoh berkenaan, bantuan itu telah membantu meringankan tekanan kewangan pelanggan yang terkesan diakibatkan oleh wabak COVID-19. Dengan pemulihan aktiviti perekonomian dan acara-acara sosial, sebilangan pelanggan tidak lagi memerlukan bantuan berkenaan dan telah meneruskan pembayaran kemudahan pinjaman atau pembiayaan mereka secara penuh.

Walau bagaimanapun, AMBD mengambil maklum bahawa sebilangan pelanggan akan masih menghadapi masalah aliran tunai dan memerlukan lebih masa sebelum mereka dapat meneruskan pembayaran kemudahan pinjaman atau pembiayaan mereka secara penuh.

Gambar fail kawasan perniagaan yang lengang kerana sekatan pada awal pandemik tahun lalu. Peniaga-peniaga dan individu yang terjejas akibat COVID-19 di negara ini dan menerima bantuan kewangan berbentuk penangguhan pembayaran pinjaman atau pembiayaan sementara waktu, kini dilanjutkan lagi untuk tempoh enam bulan.

Kenyataan menjelaskan bahawa bagi sebilangan pelanggan, penyelesaian pinjaman atau pembiayaan alternatif mungkin akan diperlukan.

Sepanjang tempoh lanjutan itu, AMBD akan memberikan kelonggaran kepada beberapa peraturan perbankan bagi menggalakkan bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan untuk menawarkan bantuan yang bersesuaian kepada peminjam yang masih terkesan.

Pilihan-pilihan berkenaan adalah penangguhan pembayaran balik kemudahan pinjaman atau pembiayaan, menstrukturkan semula kemudahan pinjaman atau pembiayaan peribadi dan kemudahan sewa beli seperti pembiayaan kenderaan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, penukaran baki kad kredit kepada pinjaman atau pembiayaan berjangka pendek selama tempoh tidak melebihi tiga tahun bagi individu-individu yang terkesan di sektor swasta sahaja termasuk mereka yang bekerja sendiri serta semua bayaran dan caj bank kecuali caj pihak ketiga tidak akan dikenakan.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa tertakluk kepada penilaian bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan, bantuan-bantuan berkenaan adalah dibukakan kepada pelanggan yang masih menghadapi kesukaran dalam aliran tunai.

Peniaga dan individu terkesan yang ingin memohon bantuan itu dinasihatkan untuk menghubungi bank-bank atau syarikat kewangan masing-masing bagi mendapatkan sebarang keterangan lanjut.

Pelanggan disarankan untuk mempertimbangkan terlebih dahulu sama ada bantuan berkenaan benar­-benar diperlukan dan pilihan bantuan yang ditawarkan adalah bersesuaian.

Pelanggan yang berupaya untuk meneruskan pembayaran kemudahan pinjaman atau pembiayaan secara penuh digalakkan untuk meneruskan pembayaran itu supaya hutang-piutang tidak terkumpul pada masa akan datang. Selain itu, bank-bank akan terus tidak mengenakan yuran dan caj kecuali caj pihak ketiga bagi sebarang pemindahan wang yang dibuat oleh pelanggan bank ke bank lain melalui sistem Real Time Gross Settlement (RTGS) dan sistem Automated Clearing House (ACH) selama enam bulan lagi hingga 30 September 2021.

Semenjak yuran dan caj itu ditiadakan pada April 2020, penggunaan pemindahan wang secara dalam talian oleh pelanggan dari bank ke bank lain telah meningkat.

Orang ramai digalakkan untuk mengguna pakai kemudahan kaedah pemindahan wang secara digital yang ditawarkan oleh bank dan pembekal-pembekal perkhidmatan pembayaran.

Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi bank-bank atau syarikat-syarikat kewangan secara langsung atau AMBD di talian 2388388 atau [email protected]