AMBD, MAS meterai kerjasama baharu

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dan Autoriti Monetari Singapura (MAS) komited kepada satu bidang kerjasama baharu dengan penandatanganan penambahan memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dua hala.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan AMBD, MoU berkenaan telah dimeterai semasa Persidangan Meja Bulat Dua Hala AMBD-MAS ke-3, baru-baru ini.

MoU yang ditandatangani oleh Pengarah Urusan AMDB, Dayang Rokiah binti Badar dan Pengarah Urusan MAS, Ravi Menon itu adalah berdasarkan kerjasama berpanjangan antara kedua-dua buah negara dalam banyak bidang, termasuk Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata Wang.

Kenyataan menjelaskan, bidang-bidang baharu kerjasama termasuk pembangunan sektor kewangan, pengawalan rentas sempadan, pengurusan krisis, AML/CFT, serta pengurusan dan operasi mata wang.

Semasa persidangan meja bulat berkenaan, AMBD dan MAS membincangkan ekonomi semasa, pembangunan monetari dan kewangan, kerjasama FinTech dan mata wang.

Dayang Rokiah dan Ravi Menon ketika menandatangani MoU kerjasama dua hala.