AMBD menang pertandingan BECA 2020

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Unit Perisikan Kewangan, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), telah diumumkan sebagai pemenang pertandingan Best Egmont Case Award (BECA) bagi tahun 2020.

Anugerah ini merupakan satu penghormatan yang tertinggi bagi ahli Egmont Group of Financial Intelligence Units (FIUs). Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sebanyak 24 kes dari 19 Unit Perisikan Kewangan (UPK) di seluruh dunia telah dipertandingkan, dan kes yang dihadapkan oleh UPK, AMBD, telah dibawa ke peringkat akhir bersama dengan UPK, Guatemala. Kes yang dihadapkan adalah berkaitan dengan penglibatan UPK, AMBD, dalam kes pecah amanah dan pembersihan wang haram yang telah disimpulkan pada awal tahun ini.

UPK, AMBD telah menyediakan maklumat perisikan yang memberi nilai tambah kepada siasatan kes tersebut. Penyediaan maklumat ini, berserta dengan kerjasama domestik dan antarabangsa, dan juga penggunaan teknik inovatif, telah menyumbang kepada kejayaan pendakwaan kes berkenaan.

Egmont Group of FIUs telah ditubuhkan pada tahun 1995, untuk membanteras pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan melalui kerjasama antarabangsa, khususnya dalam bidang perkongsian maklumat, latihan dan perkongsian kepakaran. BECA merupakan satu pertandingan tahunan yang diperkenalkan pada tahun 2011 untuk mengiktiraf pencapaian-pencapaian ahli-ahli pertubuhan tersebut dalam pendakwaan kes-kes berhubung dengan pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan.

Pencapaian ini menandakan kali kedua sebuah UPK di Asia Tenggara telah memenangi anugerah antarabangsa, berikutan kejayaan Anti Money Laundering Council (AMLC), UPK Filipina pada tahun 2015. Pemenang BECA sejak tiga tahun kebelakangan ini termasuk Rusia (Rosfinmonitoring) pada tahun 2017, Ukraine (State Financial Monitoring Service) pada tahun 2018, dan Peru (Financial Intelligence Unit) pada tahun 2019. Tahun ini menandakan tahun ke-10 pertandingan BECA diadakan.