AMBD semarakkan WIW 2019

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), dengan kerjasama Persatuan Pasaran Modal Brunei Darussalam (BCMA) dan Persatuan Perancangan Kewangan Brunei Darussalam (FPAB), baru-baru ini telah mengadakan jerayawara bersempena dengan Minggu Pelabur Sedunia (WIW) 2019 di Dewan Atrium, Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP).

Hadir selaku tetamu kehormat pada acara tersebut ialah Ketua Kewangan, BSP, Hajah Melissa binti Haji Zainal Abidin.

Turut hadir ialah Penolong Pengarah Eksekutif, AMBD, Dayang Rina Hayane binti Haji Sumardi, pegawai-pegawai AMBD, wakil-wakil dari BCMA dan FPAB serta lebih kurang 150 orang pegawai dan kakitangan BSP.

Jerayawara tersebut telah diisikan dengan beberapa taklimat termasuk pengenalan AMBD, perancangan kewangan, asas pelaburan, aset-aset kripto dan initial coin offerings (ICO), AMBD Alert List dan penipuan kewangan.

Sejurus selesai taklimat, para pegawai dan kakitangan BSP telah berpeluang untuk melawat pameran-pameran kewangan dan pelaburan oleh AMBD, BCMA dan FPAB.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan AMBD, jerayawara berkenaan merupakan salah satu inisiatif yang diungkayahkan oleh AMBD bagi menyemarakkan WIW 2019 yang bermula pada 30 September sehingga 6 Oktober 2019.

WIW merupakan sebuah kempen global selama seminggu yang dikelolakan secara tahunan oleh International Organisation of Securities Commissions (IOSCO) dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepenti-ngan pendidikan dan perlindungan para pelabur.

Antara yang hadir mendengarkan taklimat semasa jerayawara yang diadakan baru-baru ini.