AMBD tandatangani PSA dua buah syarikat

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) baru-baru ini, telah menandatangani dua Participant Service Agreements (PSA) secara berasingan dengan dua buah syarikat telekomunikasi di Negara Brunei Darussalam, iaitu Datastream Digital Sdn Bhd (DST) dan Progresif Sdn Bhd (Progresif).

AMBD dalam kenyataannya menjelaskan, PSA tersebut memberikan peruntukan bagi penyerahan dan penggunaan maklumat kredit pelanggan kepada Biro Kredit yang ditubuhkan oleh AMBD. Menandatangani bagi pihak AMBD ialah Pengarah Urusan, Hajah Rokiah binti Haji Badar, manakala itu, Ketua Pegawai Eksekutif DST, Awang Radin Sufri bin Radin Basiuni dan Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Dayang Nurul Haniah binti Jaáfar mewakili syarikat masing-masing.

Kenyataan menjelaskan lanjut, perjanjian berkenaan membolehkan syarikat-syarikat telekomunikasi untuk melanggan kepada Telco Credit Report, yang mengandungi credit score, dan untuk berkongsi maklumat kredit pelanggan. Telco Credit Report memberikan ketelusan mengenai maklumat kepercayaan kredit dan tabiat ketepatan pembayaran dalam kalangan pelanggan syarikat telekomunikasi.

Melalui usaha sama ini, tambah kenyataan, liputan maklumat dalam laporan kredit akan diperluaskan dengan tambahan maklumat yang bukan tradisional. Antara maklumat lain yang bukan tradisional adalah maklumat utiliti (seperti bil air, bil elektrik dan bil telefon) atau pinjaman runcit.

Maklumat bukan tradisional ini akan lebih melengkapi laporan kredit, selain daripada maklumat perbankan yang sedia ada. Maklumat bukan tradisional ini juga akan membolehkan institusi-institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi mendapatkan pandangan yang menyeluruh mengenai kelayakan kredit pelanggan mereka.

Ia boleh digunakan untuk memperkenalkan produk baharu yang lebih sesuai dengan pasaran yang disasarkan dan mendorong tingkah laku kewangan yang positif dalam kalangan pelanggan masing-masing.

Pada masa ini, ahli-ahli biro kredit terdiri daripada bank-bank dan syarikat kewangan yang berlesen, dan tabung amanah Islam di Negara Brunei Darussalam. Pembekal-pembekal data lain ialah Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Kementerian Tenaga; Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan; Bank Usahawan; dan syarikat-syarikat telekomunikasi.