Ambil berat keadaan orang ramai, kesan kontak guna AL

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Sebelum penarikan balik beberapa sekatan yang dikenakan berikutan penularan wabak COVID-19, terdapat beberapa faktor yang perlu diteliti dan perkara yang paling penting adalah mengenai keadaan orang ramai dan juga situasi penularan wabak COVID-19.

“Alhamdulillah Negara Brunei Darussalam setakat ini masih dalam keadaan terkawal, oleh itu perkara yang perlu ditekankan adalah tentang persiapan bagaimana untuk melakukan pengesanan kontak.

“Salah satu perkara pihak kerajaan ingin laksanakan adalah penyediaan pengesanan kontak menggunakan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI),” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato menekankan dengan adanya pengawalan penularan dan persediaan AI, ia diharap akan dapat mensiap-siagakan lagi negara sekiranya berlaku gelombang kedua.
Beliau juga menegaskan bahawa penjarakan fizikal atau sosial akan masih dikenakan walaupun negara sudah menarik balik sekatan-sekatan.

“Jika sekatan ditarik balik, kami juga menggalakkan orang ramai terutama yang berisiko tinggi untuk duduk di rumah. Kalau berjalan pun perlu menggunakan penutup mulut dan hidung, tidak semestinya topeng pembedahan (surgical mask), penutup muka dan hidung jenis kain juga dibolehkan,” nasihat Yang Berhormat Dato.

“Yang penting sekali, bagaimana kita akan membuka persekolahan. Itu masih dalam perbincangan,” tambahnya.

Selain itu, menyentuh mengenai mereka yang membuat rawatan di negara jiran, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengatakan bahawa perkara itu adalah di luar kawalan Kementerian Kesihatan memandangkan bukan sahaja pihak kerajaan Brunei telah melarang perkara tersebut, malahan dari negara jiran juga mengenakan perintah larangan keluar masuk ke negara mereka sehinggalah negara-negara tertentu menarik balik perintah lockdown berkenaan.

Walau bagaimanapun, bagi hal-hal kecemasan terutama mereka yang memasang pendakap gigi yang kadang-kala boleh patah dan sebagainya, beliau menyarankan agar mereka merujuk ke pusat pergigian atau pihak Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC).

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham ketika menjawab soalan mengenai sebelum penarikan balik beberapa sekatan yang dikenakan berikutan penularan wabak COVID-19.