Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Dengan hasrat untuk menerapkan kesiapsiagaan, meningkatkan kesedaran mengenai bahaya kebakaran serta memupuk rasa bertanggungjawab dan mengambil berat mengenai aspek keselamatan kebakaran, seramai 18 orang kakitangan Mufairif Farming Sdn Bhd menyertai Kursus Marsyal Bomba selama tiga hari di Bangunan Mufairif Farming dan Balai Bomba Pengkalan Batu.
Kursus yang berlangsung pada 8 hingga 10 Ogos lalu dan dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Operasi F, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) itu dilaksanakan dengan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) dari Kementerian Kesihatan dan keperluan dari JBP mengenai situasi COVID-19, di mana sebelum memulai kursus, para peserta perlu menjalani ujian pantas antigen (ART) dan mengamalkan pemakaian pelitup muka serta penjarakan sosial.
Semasa kursus dijalankan, para peserta didedahkan mengenai pentingnya keselamatan kebakaran secara teori dan praktikal dengan penerangan mengenai sebab dan punca berlakunya kebakaran.
Para peserta juga diberikan tunjuk ajar supaya mengetahui akan tindakan yang diambil apabila menghadapi insiden kebakaran di tempat kerja dengan membuat latihan pengosongan bangunan secara bersistematik serta mengetahui tatacara penggunaan alat-alat pemadam api dan selimut api dengan cara yang betul.
Mereka turut ditunjuk ajar mengenai tatacara menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam bangunan bila berlakunya kebakaran serta mengadakan lawatan ke Balai Bomba Bandar Seri Begawan.
JBP dalam kenyataannya lagi menyatakan bahawa jabatan berkenaan ada menyediakan program-program seperti Kursus Life Saver 995 dan Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi meningkatkan pengetahuan mengenai aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul penggunaan alat pemadam api.