Ambil dadah di pusat pengasingan, tiga didakwa

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Tiga wanita yang disyaki mengambil methylamphetamine ketika berada di pusat pengasingan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, secara maya, hari ini.

Ketiga-tiga mereka ialah Noorhadahyati binti Aji, Siti Kamilah binti Haji Mohammad dan Fatin @ Masyitah binti Haji Amzah.

Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Latiff memberitahu mahkamah bahawa mereka ditempatkan di pusat pengasingan Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Temburong pada awal bulan ini.

Pada lewat malam 12 September, berdasarkan maklumat orang ramai mengenai aktiviti yang disyaki berkaitan dengan dadah, pegawai Biro Kawalan Narkotik (BKN) melakukan serbuan di pusat pengasingan berkenaan.

Ketiga-tiga tertuduh didapati positif dadah jenis Methylamphetamine dan seorang daripada mereka juga telah menyerahkan peralatan dadah kepada pegawai BKN.

Pihak pendakwaan selanjutnya menyatakan bahawa siasatan lebih lanjut tidak dapat dilakukan pada saat itu sehingga mereka disahkan pulih daripada COVID-19.

Namun, setelah mereka dijadualkan dibebaskan daripada menjalani kuarantin pada hari ini, pihak pendakwaan meminta tertuduh ditahan reman untuk membolehkan siasatan dijalankan.

Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman membenarkan permohonan itu dan tertuduh ditahan reman sehingga 27 September depan.