Friday, August 12, 2022
26.5 C
Brunei

Ambil dos penggalak lawan Omicron

-

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 DIS – Dapatan-dapatan saintifik mengenai varian Omicron menunjukkan varian itu lebih mudah merebak berbanding varian Delta, namun ia kurang menyebabkan kesan gejala ataupun jangkitan yang berat.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sebagaimana dapatan kajian dari Afrika Selatan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa peningkatan kes akibat varian Omicron termasuk mencapai kemuncak wabak adalah lebih cepat berbanding dengan varian-varian lain, termasuk varian Delta dan pada masa ini gelombang varian Omicron di Afrika Selatan sudah menurun.

Beliau menambah, sebagaimana data daripada kajian di London, walaupun lebih banyak kes yang dilaporkan daripada gelombang sebelumnya, varian Omicron didapati kurang menyebabkan kemasukan kes ke hospital dan kematian.

Ini disokong oleh dapatan dari graf, di mana jangkitan sebenar varian Omicron yang memerlukan rawatan hospital di London adalah lebih rendah berbanding dengan unjuran yang dikira berdasarkan data varian Delta.

Sementara itu, kajian sains juga mendapati walaupun dua dos vaksin boleh memberikan perlindungan yang baik terhadap kesan teruk varian Omicron, namun dos ketiga akan memberikan perlindungan yang lebih tinggi terhadap jangkitan, malah tanda-tanda yang ringan.

“Dengan mengambil kira dapatan-dapatan sains ini, orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak merasa cemas dengan pengesanan kes pertama varian Omicron di negara ini.

Langkah-langkah pencegahan dan pengawalan bagi apa jua varian-varian COVID-19 adalah sama,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Oleh yang demikian, beliau menegaskan untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan, amalkan penjarakan fizikal dan elakkan daripada pergi ke tempat-tempat yang sesak.

Menurut Yang Berhormat Dato, apa yang penting ialah bagi sesiapa yang telah melengkapkan dua dos vaksin adalah untuk mendapatkan suntikan dos ketiga atau dos penggalak sebaik saja layak menerimanya iaitu tiga bulan selepas dos kedua diperoleh.

“Kajian saintifik mendapati pemberian dos ketiga atau dos penggalak mampu meningkatkan daya tahan atau imuniti badan terhadap jangkitan COVID-19, termasuk varian Omicron,” katanya lagi.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

DXY disekat kritik rawatan herba COVID

BEIJING, 11 OGOS – Sebuah laman web perubatan China yang popular telah ditapis oleh pihak berkuasa kerana 'melanggar undang-undang dan peraturan yang berkaitan', beberapa...
- Advertisment -