‘Ambil iktibar dari negara luar’

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Peratus individu yang menerima vaksin di negara ini semakin meningkat jika dibandingkan dengan negara luar yang masih ramai yang belum bervaksin.

“Di sinilah kita perlu mengambil iktibar kerana apabila melihat di luar negara, mereka yang dijangkiti COVID-19 dan dimasukkan ke hospital kebanyakannya adalah mereka yang belum mengambil vaksin,” tekan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa memberi pandangan ke atas soalan media mengenai peningkatan jangkitan kes COVID-19 di negara luar bagi individu yang belum menerima vaksin.

Yang Berhormat Dato menjelaskan kadar peratus kematian yang berlaku di beberapa buah negara di Eropah kebanyakan kematian dalam kalangan mereka yang tidak bervaksinasi.

“Kita tidak perlu memandang jauh untuk membuat penilaian ini, kerana sudah jelas dan terbukti, risiko dan gejalanya mereka yang tidak bervaksinasi adalah amat tinggi berbanding yang sudah bervaksin, tetapi meskipun sudah bervaksinasi, ia tidak semestinya mereka ‘kebal’ hanya risiko untuk mendapat gejala teruk mungkin kurang daripada yang individu tiada bervaksin,” jelasnya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan mengenai dengan info tular mengenai adanya kes jangkitan positif COVID-19 dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab dan Pasar Ikan Jerudong.

Menjelaskan isu berkenaan, Yang Berhormat Dato mengesahkan terdapatnya jangkitan ke atas beberapa pelajar sekolah berkenaan tapi ia tidak termasuk dalam kluster sekolah tetapi ia adalah kluster kediaman, memandangkan pada masa ini tidak ada pelajar yang ke sekolah.

Manakala mengesahkan adanya jangkitan di Pasar Ikan Jerudong dan pada masa ini, beliau menyeru kontak terdekat perlu menjalani ujian swab selain perlu menjalani kuarantin.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani