Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Aidiladha atau Hari Raya Korban merupakan satu perkara yang sangat agung di mana Nabi Ibrahim a.s telah diminta oleh Allah SWT untuk mengorbankan nyawa putera Baginda, Nabi Ismail a.s. yang sekali gus sebagai satu ujian paling berat lagi sukar untuk dilaksanakan oleh dua orang hamba Allah pilihan Illahi yang tetap bersedia dan reda mematuhi segala perintah-Nya untuk berkorban dan dikorbankan.
Inilah satu-satunya kejadian untuk menjadi iktibar, iaitu seberat mana pun ujian jika datangnya daripada Allah SWT maka ujian demikian wajiblah diterima dengan penuh reda dan sabar kerana tersimpan hikmah menanti di sebaliknya.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semasa menyampaikan khutbah khas Hari Raya Aidiladha di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, hari ini.
Yang Berhormat Pehin antara lain menjelaskan, jasa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s tidak diragukan lagi sebagai lahirnya syariat berkorban, bahkan Baginda juga menjadi pengasas kepada bumi aman lagi subur yang dapat dinikmati sampai bila-bila.
“Bagaimana kita katakan begitu? Kerana sejarah awal bumi Mekah adalah bumi sahara yang tandus dan tidak aman. Tetapi Nabi Ibrahim a.s telah mengambil inisiatif membangunkan negara ini menjadi sebuah negara yang aman, subur lagi makmur,” tambahnya.
Bagaimana cara Nabi Ibrahim a.s membangunnya, sedangkan pada masa itu, belum ada orang membangun negara dengan politik, ekonomi, sains mahu pun teknologi bahkan ketulusan Baginda membangun hanya semata-mata bermodalkan doa dan munajat kepada Allah SWT supaya menjadikan Mekah sebuah bumi yang aman, subur lagi makmur, jelas beliau lagi.
Yang Berhormat Pehin seterusnya mengongsikan doa yang dipanjatkan oleh Nabi Ibrahim a.s yang terbukti dalam Surah Al-Baqarah, ayat 126 sebagaimana tafsirnya, ‘Dan (sayugia diingat) apabila Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri (Mekah) ini, negeri yang aman sentosa dan berikan juga pelbagai jenis buah-buahan kepada penghuninya, siapa antara mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.’
“Maka dengan doa ini, Allah perkenankan bumi Mekah benar-benar menjadi bumi yang aman, dan bukan sahaja aman, malah subur dan makmur sehingga mampu untuk menjadi pengeluar buah-buahan, khususnya buah kurma dengan pelbagai jenisnya dan turut sangat menonjol juga selaku pengeluar terbesar minyak dunia,” jelasnya lagi.
Yang Berhormat Pehin turut menyatakan bahawa jasa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s tidak berakhir, malah terus berlaku sampai ke akhirat termasuklah jasa paling agung lagi mulia iaitu mengajar dan membimbing kanak-kanak orang Islam yang meninggal dunia semasa mereka masih kecil.
Hal ini jelas memperlihatkan betapa membaca Al-Quran itu adalah sangat-sangat dituntut di sisi Allah SWT sehingga kanak-kanak yang meninggal dunia yang tersenarai sebagai calon-calon penghuni syurga juga masih sahaja menerima bimbingan ayat-ayat suci Al-Quran.
“Betapa dengan kita orang hidup, bermula dari peringkat kanak-kanak sampai jadi orang dewasa, orang muda dan orang tua, adalah lebih-lebih lagi dituntut untuk memiliki ilmu membaca Al-Quran itu. Membaca Al-Quran telah pun menjadi prasyarat untuk memperoleh cahaya dan syafaat (pertolongan), khasnya cahaya dan pertolongan ketika berada di alam gelap gelita atau kubur,” ujar Yang Berhormat Pehin lanjut di penghujung khutbah.