Ambil langkah ‘bermakna’ – Trump

WASHINGTON, 21 Feb – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu berkata Korea Utara harus mengambil langkah ‘bermakna’ ke arah pembasmian senjata nuklear bagi mendapatkan pelepasan sekatan daripada AS, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Trump merancang bertemu pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Hanoi, Vietnam pada 27 dan 28 Feb untuk menandatangani perjanjian yang dicapai pada sidang kemuncak pertama mereka di Singapura pada Jun tahun lepas untuk membasmi program senjata nuklear Korea Utara.

“Kami akan bertemu dengan Pengerusi Kim selama dua hari dan saya rasa kami akan mencapai kata sepakat dalam banyak perkara,” kata Trump kepada pemberita pada pertemuan dengan Canselor Austria Sebastian Kurz di Rumah Putih.

“Saya tidak rasa ini akan menjadi pertemuan terakhir kami,” katanya.

Washington telah berusaha memujuk Pyongyang untuk membasmi senjata nuklear dan program peluru berpandunya di bawah pemantauan pakar luar.

Presiden Donald Trump menyambut kedatangan Canselor Austria di Rumah Putih kelmarin. Trump menggesa Korea Utara supaya mengambil langkah ‘bermakna’ ke arah pembasmian senjata nuklear bagi mendapatkan pelepasan sekatan daripada AS. – AFP

Korea Utara pula meminta “langkah-langkah yang sepadan,” seperti pelepasan sekatan dan penamatan rasmi Perang Korea 1950-1953.

“Sekatan itu kini dikenakan sepenuhnya, seperti yang anda sedia maklum. Saya belum menariknya kembali,” kata Trump.

Perunding utama kedua-dua negara dijangka bertemu di Hanoi tidak lama lagi untuk membincangkan agenda sidang kemuncak itu dan mengeluarkan kenyataan bersama yang akan ditandatangani kedua-dua pemimpin.

Utusan khas AS, Stephen Biegun, telah berlepas dari Washington ke ibu kota Vietnam itu pada Selasa semasa rakan sejawatnya dari Korea Utara, Kim Hyok Chol, terbang dari Pyongyang via Beijing pada Rabu.

Trump menolak tanggapan bahawa Pyongyang keberatan untuk membasmi senjata nuklear.

Ekonomi Korea Utara yang meleset mengalami tekanan lebih teruk susulan sekatan antarabangsa ke atas rejim selepas melancarkan ujian senjata nuklear dan peluru berpandu pada 2017.

Dalam usaha untuk merangsang ekonominya, Kim telah menemui Presiden Korea Selatan Moon Jae In, Trump dan Presiden China Xi Jinping. – Bernama