Ambil langkah berwaspada

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Negara Brunei Darussalam kini berada dalam musim monsun timur laut yang biasanya berakhir pada bulan Mac.

Pada dua bulan pertama monsun timur laut (bulan Disember dan Januari), yang juga dikenali sebagai musim tengkujuh, lazimnya negara akan berhadapan dengan jumlah turunan hujan yang tertinggi berbanding dengan bulan-bulan lain.

Menurut kenyataan daripada Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam di sini, semasa tempoh ini, keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan lebat atau hujan berpetir sekali sekala berlaku terutama pada waktu malam dan awal pagi.

Manakala semasa tempoh separuh kedua monsun timur laut (bulan Februari dan Mac), keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan turunan hujan.

Pada jam 8:45 pagi waktu tempatan hari ini, Taufan Kammuri berada di koordinat 12.9°N 126.6°E, di kawasan timur Filipina, kira-kira 1,530km jauh daripada Negara Brunei Darussalam dan dijangka bergerak ke arah barat.

Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam secara tidak langsung dipengaruhi oleh kesan tail-end Taufan Kammuri pada minggu ini.

Oleh itu, ribut petir sekali-sekala, dan kadangkala berserta angin kencang dijangka berlaku terutama di kawasan laut dan pesisiran pantai.

Luruan angin timur laut yang kuat boleh meningkatkan ketinggian ombak di perairan Brunei ke paras bergelora sekitar 2.6 meter. Jelas kenyataan itu lagi, orang ramai diminta untuk mengambil langkah berwaspada daripada sebarang risiko kejadian banjir.

Orang ramai juga dinasihatkan berwaspada kemungkinan berlakunya banjir kilat di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir, dan risiko kejadian tanah susur dijangka meningkat terutama apabila berlakunya hujan lebat melebihi tempoh dua jam.

Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang.

Oleh yang demikian, orang ramai terutama sekali kepada para pemandu dan juga pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk kese-lamatan semua bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Orang ramai jua dinasihatkan supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi pegawai Peramal Kaji Cuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.