KULAI, 18 FEB – Kerajaan mengambil langkah proaktif bagi memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan sekali gus mengelakkan daripada berlaku kelembapan aktiviti ekonomi susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata antara langkah proaktif yang diperkenalkan adalah cadangan pembukaan semula sempadan pada 1 Mac depan, yang disyorkan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN).
“Kita harus mengambil pendekatan yang bertangunggjawab, bukan sahaja untuk menangani penularan COVID-19, tetapi juga kerajaan melalui MPN telah memperkenalkan langkah proaktif untuk memastikan aktiviti ekonomi negara dapat dipulihkan.
“Ia termasuk pembukaan sempadan negara dalam masa terdekat ini untuk membolehkan rantaian bekalan dan rantaian nilai global tidak terganggu, kerana Malaysia merupakan antara negara yang aktif dalam rantaian global,” katanya pada sidang media selepas melawat sebuah kilang pengeluar keropok lekor yang berada di bawah program tanggungjawab sosial korporat SIRIM Bhd, di sini, hari ini. – Bernama