Ambil peluang sebaik mungkin

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Pelajar-pelajar baru Universiti Teknologi Brunei (UTB) dinasihatkan untuk mengambil peluang dan pengalaman sebaik mungkin sepanjang waktu pengajian agar dapat melengkapkan diri selepas keluar dari universiti dan berada di tempat kerja.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Naib Canselor UTB, Profesor Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dalam ucapan alu-aluannya pada hari kedua minggu orientasi bagi pelajar baru universiti berkenaan bagi sesi akademik 2017/2018 yang diadakan di Dewan Serba Guna, UTB, di sini, hari ini.

“Pelajar dijangka untuk menjadi pelajar bebas yang mana para pelajar digalakkan untuk berusaha mencapai potensi kemahiran sepenuhnya melalui perancangan yang baik, masa pembelajaran mencukupi, menggunakan perpustakaan secara baik dan bahan pembelajaran online,” ujar Profesor Dr. Hajah Zohrah.

Beliau juga menyentuh kepentingan memberi semula kepada masyarakat yang mana UTB sentiasa memberi respons kepada yang memerlukan.

Selain itu, para pelajar disarankan untuk menjadi seorang yang pro-aktif dan tidak segan diri daripada membuat aktiviti bukan akademik dan aktiviti kepimpinan sebagai aktiviti ekstra-kurikulum bagi menambah nilai dalam curriculum vitae dan pasaran kerja.

Profesor Dr. Hajah Zohrah ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Profesor Dr. Hajah Zohrah ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Bacaan ikrar oleh pelajar-pelajar baru UTB sesi 2017/2018.
Bacaan ikrar oleh pelajar-pelajar baru UTB sesi 2017/2018.

“Saya juga ingin mengingatkan kepentingan menjadi pelajar contoh dan juga mendapatkan pengetahuan sebanyak yang mungkin sama ada menerusi aktiviti-aktiviti akademik ataupun bukan akademik sementara berada di universiti ini,” tambah beliau.

Beliau juga menambah, ia adalah peluang seumur hidup untuk mencapai kecemerlangan dalam mencapai impian mereka dan mendapatkan pengalaman sebanyak mungkin ke dalam tempat kerja.

Ketika ini UTB menawarkan 21 kursus sarjana muda, lima sarjana pengajaran, sarjana penyelidikan dan program-program ijazah doktor falsafah dalam bidang kejuruteraan, perniagaan, komputer dan informatik.

Minggu orientasi 2017/2018 telah merancang atur cara dan aktiviti yang berupa penerangan dan taklimat pentadbiran, fasiliti, disiplin, akademik dan struktur UTB di samping aktiviti-aktiviti bertujuan ke arah kesedaran moral dan tanggungjawab sosial dan kemasyarakatan.