Wednesday, February 19, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ambil pengalaman berharga

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah selaku Pegawai Rasmi Persatuan Bola Jaring Brunei Darussalam berkenan bersabda mengenai perkembangan terkini pasukan negara yang bakal mengadakan perlawanan pendedahan di Singapura esok (15 Mei 2017).

    Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah ketika berkenan ditemu bual di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah menjelaskan bahawa Yang Teramat Mulia ingin melihat pasukan kebangsaan didedahkan kepada perlawanan luar terutama di peringkat Asia untuk menggunakan strategi dan perancangan perlawanan yang dirancang supaya ia lebih efektif dan boleh dimanfaatkan dalam perlawanan akan datang.

    Sabda Yang Teramat Mulia lagi, permainan dan latihan serta pendedahan di Brunei sendiri tidak memadai kerana pasukan kebangsaan jika dibandingkan dengan kelab yang ada di negara ini berada pada standard yang berbeza dan peluang pendedahan luar negara yang bakal disertai ini akan membantu perkembangan pasukan bola jaring negara.

    Bersabda mengulas mengenai pencapaian selepas siri perlawanan bersama sekolah Sri Lanka sebelum ini, Yang Teramat Mulia bersabda bahawa pasukan bola jaring negara perlu lebih memberikan fokus dalam memantapkan kelancaran serangan dan pemain pula perlu lebih proaktif dalam merancang serangan dan pada masa yang sama tidak menolak keperluan bertahan oleh barisan pertahanan negara dalam mengekang kemaraan pihak lawan.

    Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah ketika berkenan ditemu bual Media Permata.
    Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah ketika berkenan ditemu bual Media Permata.

    “Kita perlu kuat daripada aspek mental kerana pada saya itu adalah antara aspek yang masih perlu diberikan perhatian dan kita perlu terus berjuang sehingga ke wisel penamat dan tidak beralah meskipun berhadapan mana-mana pasukan pun,” tegas Yang Teramat Mulia.

    Apabila ditanya mengenai perkembangan dalam tempoh kebelakangan ini, Yang Teramat Mulia dalam sabdanya menegaskan sejak beberapa bulan yang lalu pasukan kebangsaan menampakkan peningkatan yang memberangsangkan dan siri pendedahan di kota Singapura akan lebih membantu pembangunan pasukan kebangsaan kita.

    Yang Teramat Mulia kemudiannya mengulas mengenai bentuk fizikal para pemain negara yang mana menurut Yang Teramat Mulia meskipun kali ini pasukan negara mempunyai pemain tinggi lampai namun ia adalah kelebihan yang tidak semestinya akan menjamin kejayaan dalam mana-mana perlawanan sebaliknya menegaskan supaya semua pemain akan menunjukkan daya saing serta semangat juang tinggi selain gigih dalam semua perlawanan nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda