Ambulans kemalangan tidak bawa pesakit COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk tidak berasa cemas dan tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu berkaitan dengan insiden kemalangan jalan raya yang membabitkan sebuah kenderaan ambulans Hospital Limbang pada 11 April lalu di kawasan Jerudong.

Kementerian tersebut dalam kenyataannya juga menegaskan ambulans tersebut tidak membawa pesakit yang dijangkiti COVID-19.

Sejurus menerima maklumat mengenai kemalangan itu, Perkhidmatan Kecemasan Ambulans Perubatan (EMAS), Kementerian Kesihatan segera menghantar ambulans ke lokasi kemalangan untuk membantu dan membawa pesakit serta kakitangan yang tercedera ke Bahagian Kecemasan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Kenyataan menyatakan ambulans berkenaan bertolak dari Hospital Limbang menuju ke Hospital Miri melalui Negara Brunei Darussalam dengan membawa seorang pesakit warganegara Malaysia dengan ditemani tiga orang kakitangan dari Hospital Limbang.

Semua individu yang terlibat dalam kemalangan itu, didapati hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat mengikut protokol COVID-19 yang berjalan pada masa ini.

Sementara itu, ambulans tersebut telah pun diberikan kebenaran awal untuk menghantar pesakit ke Hospital Miri melalui Negara Brunei Darussalam dan pada petang, 11 April, sebuah ambulans tambahan dari Hospital Limbang juga telah diberikan kebenaran untuk ke Negara Brunei Darussalam bagi membawa pesakit dan kakitangan-kakitangan berkenaan ke Hospital Miri.