Ambuyat Goreng semakin digemari ramai

Oleh Ak Zaki Kasharan

 

BANDAR SERI BEGAWAN – Makanan merupakan suatu keperluan hidup yang sangat diperlukan dalam memberikan manusia tenaga untuk meneruskan keberlangsungan hidup sehari-hari.

Sejajar dengan perkembangan semasa dan waktu, makanan turut tidak terlepas dari mengalami proses perubahan, adaptasi dan tranformasi mengikut permintaan orang ramai. Salah satu sajian makanan tradisional tempatan Brunei yang terkenal iaitu Ambuyat, turut tidak terkecuali ditranformasikan kepada sajian hidangan berwajah baharu.

Ambuyat yang merupakan sejenis hidangan yang diperbuat daripada ambulong, setelah diproses daripada pohon rumbia, yang pada kebiasaannya disaji dan dikonsumsi secara tradisional bersama variasi jenis pencicah seperti binjai, membangan, tempoyak, belacan dan sebagainya, kini telah ditranformasikan menjadi suatu hidangan baharu yang lebih dikenali dengan nama ‘Ambuyat Goreng.’

Ambuyat goreng kini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada orang ramai sama ada dari dalam mahupun luar negara. Sajian yang mula diperkenalkan beberapa tahun yang lalu ini seakan memberikan nafas baharu terhadap industri makanan di negara ini dengan inovasi yang cukup disenangi oleh orang ramai.

Antara bahan yang turut dicampurkan dalam sajian ambuyat goreng tersebut adalah seperti daging, ayam, belutak dan bermacam lagi mengikut permintaan dan kegemaran peminatnya.

Ambuyat goreng yang kini mendapat sambutan orang ramai.

Salah seorang penggemar sajian ini, Mohd Rafiq, 32, ketika ditemui pihak Media Permata baru-baru ini menyatakan keterujaannya ketika pertama kali mencuba hidangan tersebut beberapa tahun sebelumnya. Keputusannya untuk mencuba menu baharu iaitu ‘ambuyat goreng’ tersebut ternyata membuatkan beliau menyukainya dan sehingga ke hari ini beliau kerap memakan ambuyat goreng tersebut.

“Pada masa ini sudah banyak restoran malahan gerai-gerai yang menyediakan menu ambuyat goreng berbanding sebelumnya, oleh itu amat mudah bagi saya dan keluarga serta orang ramai untuk mencuba dan mengonsumsi menu ini,” tambahnya lagi.

Tranformasi, inovasi dan olahan menu sajian tradisional menjadi suatu menu yang baharu bukanlah suatu perkara yang harus dipandang negatif, malah ia perlu dilakukan untuk memberikan nafas baharu kepada beberapa menu tradisional terutama sekali yang kini sudah kurang mendapat sambutan. Oleh itu, para peniaga dan orang ramai adalah disarankan untuk menjadi lebih kreatif dalam mengolah makanan yang ada pada masa kini untuk dijadikan lebih menarik dan dapat diterima oleh orang ramai pada masa yang akan datang agar tidak pupus ditelan zaman.