AMCHAM seru Biden umum pelan sertai CPTPP

KUALA LUMPUR, 5 NOV – Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) menggesa Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pelannya untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Dewan itu percaya bahawa CPTPP kekal sebagai perjanjian pelbagai hala standard tertinggi yang wujud, hasil penggubalan apabila AS berkhidmat sebagai salah satu perunding utama.

“Kami menyeru agar Presiden Joe Biden mengumumkan bahawa AS akan memulakan proses menyertai CPTPP ketika beliau bersedia untuk menghadiri buat pertama kali Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dihoskan oleh New Zealand,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun AS telah menarik diri daripada perjanjian itu, negara-negara lain mengekalkan asas perjanjian berkenaan dengan memasukkan beberapa peraturan seperti pengurangan tarif, menjadikan rantaian bekalan lebih berdaya tahan, selain akur dengan prosedur akses untuk calon baharu.

“Lebih lama AS mengecualikan diri mereka, semakin banyak syarikat AS menghadapi kekurangan daya saing terhadap eksport mereka ke pasaran pengguna yang sedang berkembang pesat dan golongan pekerja AS terpaksa membayar produk yang diperlukan oleh keluarga mereka dengan lebih mahal,” katanya.

Oleh itu, AMCHAM menggesa Biden untuk mengumumkan penyertaan AS ke dalam CPTPP, dengan matlamat bagi mencapai konsensus domestik dan antarabangsa yang diperlukan apabila negara itu menjadi tuan rumah APEC menjelang 2023. – Bernama