Amelia teruja berlakon dengan pelakon senior

Biarpun mempunyai pengalaman lakonan yang luas, bermula ketika usianya masih kanak-kanak, pelakon dan model jelita, Amelia Henderson tidak pernah mendabik dada.

Sebaliknya pemilik nama sebenar Amelia Thiputa Handerson, 26, itu sentiasa bersikap merendah diri dan terbuka menimba pengalaman baharu pada setiap fasa yang dilaluinya dalam bidang seni.

Tidak mahu bersandarkan kelebihan paras rupa dimiliki, Amelia mengakui melalui proses yang sama dengan orang lain dalam usaha untuk menempatkan diri dalam industri.

“Kalau ikutkan pada usia 10 tahun lagi saya sudah berlakon, selain terlibat dengan pelbagai iklan komersial. Bagaimanapun selepas itu saya berehat seketika daripada aktiviti seni kerana mahu memberikan tumpuan kepada pelajaran.

“Mungkin disebabkan minat mendalam dalam bidang seni, saya kembali berlakon pada usia 18 tahun dan terus aktif sehingga kini.

“Biarpun sudah ada pengalaman berlakon masa kanak-kanak, tetapi ia tidak mudah kerana saya perlu bermula semula dan asah balik bakat lakonan yang ada dalam diri,” ujarnya pertama kali tampil menerusi drama Keluarga Adam.

Atas sebab itu, Amelia mengakui sentiasa mencari peluang bekerjasama dengan pelakon-pelakon senior untuk menimba ilmu dan pengalaman dalam usahanya menjadi pelakon yang bagus.

Terbaru, figura berdarah kacukan India-Scotland itu tampil menerusi drama Cik Ayu Mee Sanggul yang menyaksikan gandingannya bersama Datuk Rosyam Nor dan Aqasha.

“Memang agak gementar apabila berlakon dengan pelakon-pelakon senior yang sememangnya kita tahu hebat dalam lakonan mereka.

“Bagi orang baharu macam saya, semestinya banyak benda yang boleh dipelajari sepanjang berlakon bersama. Bila masuk set, kita boleh nampak cara bagaimana pelakon senior ini berkerja, selain karakter hebat yang ditampilkan.

“Jadi secara tidak langsung saya juga cuba memberikan yang terbaik agar tidak ketinggalan dan berada dalam vibe sama dengan mereka,” akuinya yang cukup menghargai peluang berlakon dengan pelakon senior.

Berkongsi perkembangan terkininya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih lagi dalam pelaksanaan, Amelia yang ditemubual ketika sidang media drama Cik Ayu Mee Sanggul baru-baru ini berkata, biarpun terkesan dengan apa yang berlaku, namun dia sentiasa berfikiran positif.

Tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai sesuatu yang memberi tekanan buat dirinya, Amelia cuba mengisi masa dengan pelbagai akti-viti. – Agensi

Amelia sentiasa bersikap merendah diri dan terbuka menimba pengalaman baharu pada setiap fasa yang dilaluinya dalam bidang seni. – Agensi