Amelina dilamun cinta

Ratu Dangdut, Amelina, 46, membuat pengakuan hatinya kini sudah dimiliki seseorang jejaka berstatus ahli perniagaan.

Amelina berkata, hubungan yang terjalin sudah mendapat restu enam orang cahaya matanya.

“Hubungan kami dalam peringkat saling kenal mengenali antara satu sama lain. Fasa ‘sweet’ orang kata.

“Saya selesa bersamanya kerana dia bukan seorang yang sombong dan tidak kuat cemburu.

“Anak-anak saya pula boleh menerima kehadirannya,” katanya kepada media.

Ditanya apakah pengakuan itu menandakan dirinya bakal menamatkan zaman solo, tahun ini, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Semakin Rindu Semakin Asyik menafikannya.

“Saya serahkan soal jodoh pada takdir Tuhan. Semuanya dalam perancangan tetapi bukanlah tahun in’,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu berjudul Ada Untukmu.

Mengulas lagu ciptaan sepenuhnya Aepul Reza itu, Amelina atau nama sebenarnya, Norazlina Amir Sharipuddin itu berkata, Ada Untukmu adalah lagu bergenre balada pertama yang dirakamkan.

“Ini adalah percubaan pertama menyanyikan lagu bergenre balada selepas dua dekad dalam industri muzik.

“Bagaimanapun, ia bukanlah bermakna saya mahu beralih arah dari dangdut ke balada. Jujurnya, saya tak bimbang dengan maklum balas peminat.

“Apa yang lebih merisaukan bagaimana saya nak menyanyikan lagu ini di pentas memandangkan sudah biasa menari dangadut,” kata Amelina. – Agensi