AMEM ke-39 bersidang secara maya mulai hari ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN bagi Tenaga (AMEM) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan akan mengadakan sesi ke-39 melalui platform maya bermula esok hingga 16 September.

Sesi maya itu akan dihoskan oleh Negara Brunei Darussalam sebagai pengerusi ASEAN 2021 dan akan dipengerusikan oleh Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein selaku pengerusi AMEM ke-39 dan Menteri Lombong dan Tenaga Kemboja, Tuan Yang Terutama Suy Sem sebagai naib pengerusi dengan mesyuarat dijangka disertai oleh negara-negara anggota ASEAN, rakan-rakan dialog serta organisasi-organisasi antarabangsa.

Kementerian Tenaga dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa empat mesyuarat berkaitan akan dikendalikan di samping AMEM ke-39 termasuk Dialog AMEM-Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) ke-7, AMEM Plus Three (AMEM+3) ke-18, East Asia Summit Ministers Meeting (EAS EMM) ke-15 dan Dialog AMEM – Agensi Tenaga yang boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) ke-5.

Salah satu deliverables utama mesyuarat berkenaan adalah sokongan deklarasi bersama sebagai sebahagian daripada priority economic deliverables (PEDs) di bawah pengerusi ASEAN Negara Brunei Darussalam, yang dirujuk sebagai Bandar Seri Begawan Joint Declaration of The ASEAN Energy Ministers on Energy Security and Energy Transition.

Deklarasi bersama itu juga adalah satu daripada lima inisiatif yang diterajui Brunei yang akan mencerminkan komitmen dan kesungguhan kuat menteri-menteri tenaga ASEAN dalam melaksanakan ASEAN Economic Community (AEC) Blueprint 2025 melalui pendekatan berani dan berpandangan ke hadapan yang responsif kepada cabaran-cabaran semasa dan mengukuhkan penyelarasan merentas sektor dalam AEC serta isu-isu merentas tunggak di kalangan tiga tunggak Komuniti ASEAN.

Semasa menjadi pengerusi ASEAN, terdapat pelbagai inisiatif diterajui Brunei dalam menyokong agenda memajukan transisi tenaga dalam rantau ASEAN yang dilaksanakan semasa tempoh pengerusi pada 2021.

Kenyataan menyatakan bahawa inisiatif berkenaan termasuk Concept Paper on AMEM – Wide Education and Training Exchanges on the Role of Natural Gas in Advancing a Low Carbon Energy Transition; the Concept Paper on Energy Establishments and Climate Change Organisation Cooperation on Energy Issues, the Concept Paper on Establishing ASEAN Energy Interaction Programmes dan Workshops on Hydrogen Economy and Carbon Capture Utilization and Storage (CCUS).

Selari dengan mesyuarat-mesyuarat berkenaan, Forum Peniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) juga akan diadakan pada 14 hingga 16 September dan akan dihoskan bersama oleh Kementerian Tenaga dan Autoriti Petroleum Brunei Darussalam serta dianjurkan bersama oleh ASEAN Centre for Energy (ACE) dan DMG Events.

AEBF 2021 dijangka akan menyaksikan penyertaan maya pegawai-pegawai kerajaan dan sektor swasta termasuk syarikat-syarikat tenaga utama dari negara anggota ASEAN dan rakan-rakan dialog, dengan matlamat untuk mengadakan pertukaran mengenai peluang pelaburan tenaga serantau terkini dan memperoleh pandangan pertama pada inisiatif-inisiatif dasar dan persekitaran pengawalseliaan sebagai panduan bagi pembangunan tenaga masa hadapan.