American Airlines batal ratusan penerbangan

WASHINGTON, 31 OKT – American Airlines terpaksa membatalkan ratusan penerbangan pada hujung minggu berikutan kekurangan kakitangan berpunca daripada gangguan cuaca, menurut data FlightAware, kelmarin.

Menurut laman sesawang tersebut, yang menjejak sebarang penundaan dan pembatalan penerbangan di Amerika Syarikat (AS), menunjukkan American Airlines membatalkan lebih 800 penerbangan pada Jumaat dan Sabtu serta menjangkakan lebih 400 lagi pembatalan penerbangan pada Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif American Airlines, David Seymour memaklumkan menerusi memo kepada kakitangan kelmarin bahawa cuaca buruk bermula Khamis dengan angin kencang menghalang kapasiti hab Dallas milik syarikat berkenaan dan menyebabkan kelambatan untuk mengatur kakitangan bagi penerbangan seterusnya.

Ketua syarikat berkata dengan isu cuaca, kakitangan ‘mula berkurangan ketika ahli kru akhirnya terpaksa bertugas tanpa jadual yang ditetapkan’.

Dia berharap operasi akan kembali pulih ‘dengan segara berikutan permulaan bulan baharu’.

Dia juga mengumumkan kepulangan 1,800 kakitangan penerbangan yang berada dalam siap sedia sejak pandemik dan mengambil 600 kakitangan baharu menjelang penghujung Disember, berserta 4,000 kakitangan lapangan terbang. – AFP