American Airlines terima pinjaman AS$5.5 bilion

NEW YORK, 27 SEPT – American Airlines telah bersetuju dengan pinjaman berjumlah AS$5.5 bilion daripada Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) tatkala ia berhasrat mengatasi kemelesetan dicetuskan oleh koronavirus, umum syarikat penerbangan itu pada hujung minggu.

Syarikat penerbangan itu, yang berkata ia mungkin membuang 19,000 pekerja pada bulan depan tanpa pakej bantuan tambahan dari Kongres, berkata pembiayaan itu akan ‘membantu kami menambah kecairan jangka panjang sehingga permintaan kembali pulih,’ menurut satu mesej kepada kakitangan.

Pinjaman itu, dikeluarkan sebagai sebahagian daripada pakej bantuan persekutuan Akta CARES yang diluluskan pada musim bunga ini, menambah kepada jumlah hutang American, yang lebih tinggi daripada syarikat penerbangan AS lain. Jabatan Perbendaharaan memberitahu syarikat penerbangan bahawa pinjaman boleh ditambah kepada AS$7.5 bilion, “walaupun jumlah tersebut adalah tertakluk kepada kelulusan terakhir oleh Perbendaharaan,” kata American dalam fail keselamatan.

Akta CARES turut memperuntukkan AS$25 bilion dalam dana Program Sokongan Gaji (PSP) untuk syarikat penerbangan AS, termasuk AS$5.8 bilion untuk American.

Syarikat penerbangan AS yang menerima dana PSP akan komited tidak akan mengadakan pengurangan pekerja sehingga akhir September. American berkata ia mungkin membuang 19,000 pekerja bermula pada bulan Oktober sekiranya tidak adanya pakej bantuan baharu. – AFP

Seorang kakitangan American Airlines menunggu pelanggan di lapangan terbang Antarabangsa Benito Juarez di Bandar Mexico. American Airlines telah bersetuju dengan pinjaman AS$5.5 bilion dari Perbendaharaan AS untuk mengatasi kemelesetan dicetuskan COVID-19. – AFP