MOSCOW, 10 MAC – Mark Carney, yang akan mengambil alih kepimpinan sebagai Perdana Menteri Kanada menggantikan Justin Trudeau menegaskan bahawa negaranya tidak akan sesekali menjadi sebahagian daripada Amerika Syarikat (AS), meskipun berdepan ancaman daripada Presiden Donald Trump.
“Amerika bukan Kanada. Dan Kanada tidak akan pernah menjadi sebahagian daripada Amerika dalam apa jua bentuk sekalipun,” kata Carney dalam ucapan pertamanya selepas pemilihan kepimpinan parti, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Kenyataan itu dibuat di tengah ketegangan antara Ottawa dan Washington berhubung tarif perdagangan yang dikenakan AS terhadap barangan import dari negara itu.
Pada Disember lalu, Trump merujuk kepada Perdana Menteri Kanada ketika itu, Justin Trudeau sebagai ‘gabenor’ bagi ” Great State of Canada” susulan ketegangan berkaitan ancaman tarif.
Selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden AS pada 3 Februari, Trump mencadangkan bahawa Kanada boleh menjadi negeri ke-51 AS untuk mengelakkan tarif serta mendapatkan perlindungan ketenteraan.
Laporan menyebut bahawa pegawai kerajaan Kanada mengambil serius kenyataan itu. – Bernama/Sputnik/Ria Novosti
