‘Amerika sedia pimpin dunia’

WILMINGTON, 25 NOV – Presiden yang dipilih, Joe Biden, semalam menyifatkan ‘Amerika sudah kembali dan bersedia memimpin dunia’ ketika memperkenalkan barisan pembuat dasar dan diplomat veteran yang akan membentuk pasukan keselamatan nasional dan dasar luar di bawah pentadbirannya.

Biden, 78, menampilkan senarai pilihannya bagi setiausaha negara, penasihat keselamatan nasional, setiausaha keselamatan dalam negeri, ketua risikan, duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan perwakilan perubahan iklim.

“Kakitangan perkhidmatan awam ini akan mengembalikan kepimpinan global dan moral,“ kata Biden bersama barisan enam ‘orang kanan’ yang berdiri di belakangnya dengan memakai penutup mulut dan hidung.

Biden berkata selepas beliau menerajui tampuk pimpinan secara rasmi pada 20 Januari ini dengan Donald Trump akan meninggalkan Rumah Putih pada tarikh itu, Amerika Syarikat (AS) akan kembali ke meja rundingan dan bersedia menghadapi seteru serta tidak akan mengenepikan sekutu.

“Pasukan ini akan menjadi cerminan kepada hakikat bahawa Amerika sudah kembali, bersedia memimpin dunia dan tidak akan mundur,” katanya yang merujuk kepada dasar Trump yang berdiri sendirian melalui ‘America First’.

Biden muncul dengan ucapannya selepas Trump dilihat semakin terkebelakang dalam usahanya membatalkan keputusan pilihan raya atas tuntutan penipuan yang tidak berasas.

Pennsylvania dan Nevada mengesahkan keputusan pilihan raya pada 3 November lalu semalam, sehari selepas Michigan melakukannya, iaitu tindakan yang menyebabkan Pentadbiran Perkhidmatan Awam (GSA) melancarkan proses peralihan. – AFP