Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aminuddin wira skuad B-15 negara

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Bermain 10 orang dan ketinggalan 0-1 tidak melemahkan semangat juang Pasukan Bawah 15 Tahun (B-15) Negara Brunei Darussalam untuk bangkit menewaskan Hong Kong dengan jaringan 2-1 menerusi dua gol wira negara, Aminuddin Masri dalam kempen pusingan kelayakan Kejohanan Bola Sepak B-16 Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) 2017 hari ini.

    Meskipun ketinggalan pada babak pertama menerusi penalti Lau Kwan Ching pada minit ke-38, selepas salah seorang pemain negara menggunakan tangan dalam petak penalti yang kemudian dilayangkan kad merah oleh pengadil, namun skuad muda negara tidak berputus asa bahkan menunjukkan semangat juang yang tinggi di babak kedua perlawanan.

    Ketika perlawanan memasuki sejam, Aminuddin mengejutkan Hong Kong apabila dia menggegarkan gawang lawan bagi menjadikan kedudukan 1-1, sekali gus meniup semangat pasukan untuk terus membuat serangan.

    Ketika perlawanan berbaki tiga minit, Aminuddin sekali lagi menjadi wira negara apabila dia berjaya menembusi gawang Hong Kong dengan satu sepakan lambung bagi memastikan kemenangan dan tiga mata penuh untuk Brunei Darussalam.

    Ketua Jurulatih Kebangsaan, Stephen Ng menyatakan kejayaan ini dikhususkan ke hadapan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam yang sentiasa yakin dan percaya kepada pembangunan sukan bola sepak tanah air.

    Gambar ihsan Chinese Taipei FA ini menunjukkan Aminuddin Masri menjadi wira Brunei Darussalam ketika dua golnya menumpaskan Hong Kong dalam pusingan kelayakan Kejohanan Bola Sepak B-16 AFC 2017.

    Ucapan terima kasih itu juga ditujukan kepada seluruh warga Brunei Darussalam yang tidak henti-henti mendoakan kejayaan pasukan B-15 negara dalam pusingan kelayakan tersebut.

    “Para pemain beraksi sepenuh jiwa hari ini. Mereka fokus dan menjayakan perancangan permainan dengan baik selain menunjukkan tahap disiplin yang tinggi, terutama apabila terpaksa bermain 10 orang selepas insiden kad merah dan ketinggalan satu gol,” ujarnya.

    Menurutnya lagi, meskipun peluang untuk layak sangat tipis ekoran perbezaan gol namun beliau percaya pasukan ini telah membuktikan bahawa Brunei Darussalam tidak turun tanpa persediaan dan tanggapan itu perlu dihakis kerana pasukan ini membuktikan bahawa bola sepak Brunei kini membangun serta mampu memberikan saingan.

    Beliau berharap semua pemain terus berusaha membangunkan permainan individu dan berpasukan bagi meraih lebih banyak kejayaan di masa akan datang. Pasukan B-15 negara membuka tirai pusingan kelayakan dengan menewaskan Macau, tewas kepada tuan rumah Chinese Taipei dan Korea Utara sebelum menumpaskan Hong Kong hari ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda