KUALA LUMPUR, 11 Sept – Cabang perbankan pelaburan AmBank Group, AmInvestment Bank Bhd, memenangi anugerah ‘Agensi Sukuk Terbaik 2017’ di Anugerah Kewangan Islam Global 2017 Ketujuh (GIFA) di Astana, Kazakhstan pada 16 September 2017.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata anugerah itu menyokong lagi kepakaran dan keupayaan kewangan Islam yang dibina syarikat itu selama bertahun-tahun ini.
“Ia benar-benar satu penghargaan kepada kami semua di AmBank untuk menerima pengiktirafan antarabangsa ini buat pertama kalinya, dan juga tambahan kepada banyak penghargaan dan anugerah berprestij yang kami terima tahun ini,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan AmInvestment, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, berkata pengiktirafan itu mengesahkan lagi keupayaan syarikat dalam memanfaatkan kedudukannya sebagai agensi sukuk utama yang sentiasa mengukuhkan kedudukannya dalam inovasi dalam industri kewangan Islam.
GIFA, yang dianjurkan oleh Edbiz Corp, firma penasihat Syariah antarabangsa yang berpangkalan di London, adalah bertujuan mengiktiraf pemain industri perbankan dan kewangan Islam paling cemerlang di seluruh dunia. – Bernama