Pelakon yang semakin meningkat popular, Amir Ahnaf tepis dakwaan dirinya sebagai perampas hanya kerana dilihat akrab bersama pelakon Anna Jobling yang pernah dikaitkan bercinta dengan Meerqeen.
Amir atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairuddin, 23, menjelaskan tidak timbul isu merampas kekasih orang kerana hubungannya dengan Anna hanyalah sekadar rakan industri.
“Saya terbaca dalam ruangan komen yang mengatakan saya rampas Anna daripada Meerqeen. Saya tak rampaslah.
“Hakikatnya, kami adalah rakan sekerja dan sedang berlakon bersama,” katanya kepada BH Online.
Untuk mengelakkan kekeliruan, pemenang trofi BBNU Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 itu turut memaklumkan tidak mempunyai masalah dengan Meerqeen berikutan isu itu.
Malah, kata Amir, aktor kacak itu turut memberikan sokongan buat dirinya.
“Meerqeen tahu saya berlakon bersama Anna. Dia turut memberikan sokongan dan semangat kepada saya supaya menghasilkan kerja terbaik.
“Saya tak rasa ada suasana tegang berlaku antara kami bertiga. Saya rasa yang mengapi-apikan adalah peminat masing-masing,” jelasnya.
Amir dan Anna bakal muncul dalam naskhah terbaharu berjudul Syurga Itu Bukan Mudah arahan Eyra Rahman.
Sementara itu, Amir menyifatkan Anna seorang pelakon yang bagus dan profesional ketika bekerja.
“Masa kali pertama jumpa untuk tanda tangan kontrak, saya sudah dapat rasa Anna adalah pasangan pelakon terbaik untuk bergandingan. Dia sangat bagus.
“Saya sudah baca skrip, jadi saya tahu karakter Anna macam mana. Dia boleh bawakan karakter ini.
“Saya juga suka bekerja dengan Anna sebab seorang yang profesional,” kata Amir ketika ditemui pada sidang media drama Gamers Mangkuk, malam tadi.- Agensi
