Thursday, April 18, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Amir Masdi impi bolos pentas AJL 37

    Penyanyi Amir Masdi, 26, meluahkan rasa teruja apabila dua karya lagunya layak ke pusingan Separuh Akhir Muzik Muzik 37 (SFMM37).

    Mempertaruhkan Esok dan Debu yang bergandingan dengan Dayang Nurfaizah seakan memberikan harapan kepadanya untuk sama-sama berentap di Anugerah Juara Lagu (AJL 37) buat kali kedua dalam karier nyanyiannya.

    “Takut, gementar, tapi lebih kepada teruja dan saya rasa tak percaya bila dapat tengok nama dan lagu sendiri. Saya rasa bangga dan teruja.

    “Kedua-dua lagu mempunyai kekuatan berbeza, bagi saya lagu Esok kekuatannya pada lirik dan lagu Debu pula lebih kepada arrangement.

    “Melihat kepada senarai lagu yang layak, kebanyakkan peserta sudah mempunyai pengalaman bertanding di pentas AJL, vokal pun semuanya unik selain kita ada penyanyi baharu yang berpotensi besar dan penyanyi senior yang relevan.

    Amir Masdi berasa teruja apabila dua karya lagunya layak ke pusingan SFMM37. – Agensi

    “Saya juga terkejut apabila lagu Debu layak bertanding, dengan semangat peminat yang sentiasa mengundi itu memainkan peranan yang besar untuk sampai ke tahap ini,” katanya.

    Bakal bergandingan dengan Dayang Nurfaizah, Amir atau nama lengkapnya Amir Syazwan Masdi akui dia dan Dayang mempunyai chemistry bagi wujudkan harmoni menerusi lagu Debu.

    “Saya sangat bertuah dapat peluang untuk berduet dengan Dayang Nurfaizah, mungkin daripada situ juga saya dapat pengalaman daripada mereka.

    “Saya rasa teruja sebenarnya sebab dapat bekerja dengan Dayang Nurfaizah, dia seorang yang humble dan sangat terbuka untuk sebarang pendapat, jadi tekanan itu kurang sikit.

    “Tekanan untuk naik ke pentas itu ada, tapi bersama Dayang saya rasa ada aura positif dan bersemangat.

    “Sebagai penyanyi, kami juga ada buat latihan ketika berjumpa dan bertolak ansur untuk lagu Debu supaya kelihatan harmoni di pentas. Saya dan Dayang sama-sama nyanyi sedap dan kami dapat rasakan chemistry dan emosi itu sehaluan,” jelas Amir.

    Disoal mengenai persediaan yang bakal dilakukan, pelantun lagu Esok ini memberitahu dia mahu fizikalnya kekal aktif selain penghayatan lirik yang lebih mendalam.

    Jelas Amir lagi, dia menaruh harapan tinggi karya yang dihasilkannya dipertandingkan pada pentas AJL untuk edisi kali ini.

    Nama Amir juga pernah menjadi fenomena apabila berjaya menempatkan diri sebagai finalis AJL 35 menerusi lagu Kau Sakiti sehingga membuka mata ramai pihak.

    Amir ditemui pada majlis sidang media SFMM37 yang diadakan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre, Bandar Utama, baru-baru ini. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...