Oleh Na’ila Azmi
KATHMANDU, Nepal, 9 April – Peserta dari Negara Brunei Darussalam, Awang Amirnorshah bin Haji Mohd Jamin yang mewakili Pasukan Perlumbaan Enduro Brunei berjaya meraih tempat ketiga bagi Kategori Master B dalam Kejohanan Asian Enduro Series (AES) Nepal 2018 yang berlangsung selama tiga hari, baru-baru ini.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Nagarkot itu, peserta negara hanya dikalahkan oleh peserta dari Singapura yang berada di tempat pertama, diikuti dengan peserta dari Hong Kong di tempat kedua.
Perjalanan melalui Enduro 8 Peringkat Istimewa disertai oleh seramai 81 penunggang basikal gunung termasuk 42 peserta dari Nepal dan selebihnya daripada 17 buah negara termasuk Brunei.

Dua hari sebelum pertandingan, para peserta dimestikan untuk mengikuti latihan yang dijalankan sebelum menyertai perlawanan itu.
Perlumbaan bermula dari titik Nagarkot View Tower di mana pelumba perlu melengkapkan empat peringkat menuruni bukit iaitu pada hari pertama menuruni bukit sejauh 1.65km, 925m, 1.33km dan 2.4m. Manakala pada hari kedua, pelumba perlu melengkapkan tiga peringkat sukar iaitu peringkat 1km, peringkat 2.7km dan peringkat akhir 2.05km.