Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amirul wira PIP, BTC berpesta gol

    Oleh Hasrulraizan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Liga Remaja Bawah 16 Tahun (B-16) NFABD diteruskan hari ini dengan empat lagi perlawanan secara serentak di empat venue berbeza.

    Perlawanan tumpuan di Padang Astro Turf NFABD menyaksikan jaringan penyerang Projek Ikan Pusu (PIP), Amirul Aizad pada separuh masa kedua, minit ke-41, menjadi jaringan tunggal perlawanan sekali gus memberikan pasukannya kemenangan tipis 1-0 ke atas Tabuan B.

    BTC Red Star menang besar 6-1 ke atas Parma FC di Padang Kompleks Bengkurong. BTC Red Star mendahului 2-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Ahmad Ikhwan Ibrahim pada minit ke-4 dan Alin Syahmi Hossaini pada minit ke-12.

    Khairul Hafiz menambah jaringan pada minit ke-35, disusuli ledakan gol kedua peribadi Ahmad Ikhwan pada minit ke-37. Ahmad Ikhwan mencipta hatrik pada minit ke-55 sebelum Amin Hakim Rosli menjadikan kedudukan 6-0 seminit kemudian. Shafique Aiman menjaringkan gol sagu hati Parma FC pada masa kecederaan iaitu pada minit ke-62.

    Antara aksi pergelutan bola di dalam petak bahaya Tabuan B (merah) ketika menentang PIP.
    Antara aksi pergelutan bola di dalam petak bahaya Tabuan B (merah) ketika menentang PIP.

    Perlawanan di Padang A, Kompleks Sukan Sungai Kebun menyaksikan Tabuan C menundukkan Kilanas FC 3-1, menerusi jaringan Syaherrul pada minit ke-6, Ahmad Daniesh pada minit ke-18 dan Nazry Aiman pada minit ke-53. Seminit dalam masa kecederaan Kilanas FC mendapat gol sagu hatinya disumbangkan oleh Abdul Sazli.

    Sementara Rimba Star dan Bang Dalam FC berkongsi satu mata di Padang B, Kompleks Sukan Sungai Kebun selepas sekadar seri tanpa jaringan.

    Liga yang mendapat sokongan daripada FIFA itu kekal diterajui juara bertahan, Tabuan A yang mengumpul enam mata, diikuti Rimba Star dan PIP masing-masing dengan empat mata di tangga kedua dan ketiga.

    BTC Red Star, Tabuan C dan Hawa FT masing-masing mengutip tiga mata, disusuli Bang Dalam FC dengan dua mata. BESA FC dan Parma FC masing-masing dengan satu mata, manakala dua tangga terbawah dihuni Kilanas FC dan Tabuan B masing-masing belum mengutip sebarang mata.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda