Pelakon Bollywood tersohor, Amitabh Bachchan mendedahkan tidak terlepas mengalami nasib dibuli di alam maya.
Demi menjaga mentalnya, karyawan seni Bollywood ini berkata akan sangat berhati-hati menulis atau mahu mengemas kini platform media sosialnya. Pengakuan tersebut dibuat sewaktu beliau mengacarakan program kuiz popularnya, Kaun Banega Crorepati (KBC).
“Saya pertama kali ‘main’ media sosial melalui dunia blog. Saya menulis di blog sendiri tanpa memikirkan akan ada komen atau kata kata jahat yang ditinggalkan.
“Bukan sahaja komen terhadap penulisan, tetapi kadang ia terjadi apabila saya hanya memuat naik gambar.
“Ada komen berbunyi ‘awda fikir anda siapa’ dan banyak lagi komen yang tidak boleh saya bayangkan hanya pada sekeping gambar,” dedahnya seperti dilaporkan Hindustantimes.
Amitabh yang sudah berkecimpung selama 50 tahun dalam industri hiburan dan glamor ini juga mengatakan tidak dapat mencerna dengan otak yang waras apabila mendapat banyak komen jahat dan bersifat buli.
“Saya tidak tahu hanya dengan menulis atau memuat naik sekeping gambar pun dikutuk dan boleh dibuli di media sosial.
“Jadi saya belajar untuk lebih berhati-hati dengan setiap perkongsian, tidak kira ia penulisan ataupun hanya sekeping gambar,” akuinya. – Agensi