‘AMLO’ menang pilihan raya

BANDAR MEXICO, 2 Julai – Calon berhaluan kiri anti penubuhan, Andres Manuel Lopez Obrador meraih kemenangan dalam pilihan raya presiden Mexico semalam dalam perubahan mendadak politik yang didorong oleh kemarahan para pengundi berhubung rasuah dan keganasan kejam.

Ahli politik mulut berbisa yang dikenali sebagai ‘AMLO’ telah memenangi 53 peratus undi, menurut unjuran rasmi keputusan pilihan raya.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah moden Mexico seorang calon telah memenangi lebih separuh daripada undi dalam pilihan raya yang bersaingan dan penolakan dua parti yang telah mentadbir negara itu hampir sedekad.

“Ini adalah hari bersejarah dan ia akan menjadi malam yang tidak dapat dilupakan,” Lopez Obrador berkata dalam ucapan kemenangannya di Alameda, Bandar Mexico ketika beribu-ribu penyokong yang sangat gembira membanjiri daerah tengah bandar itu, dengan melaungkan “Ya! kami telah melakukannya,” dan berpesta mengikut muzik kumpulan muzik jalanan.

Lopez Obrador, 64, cuba tidak membesar-besarkan kebimbangan fahaman radikal, selepas para pengkritik menggelarkannya ‘penyelamat tropika’ yang akan menggunakan dasar gaya Venezuela yang boleh menjejaskan ekonomi terbesar kedua Amerika Latin itu.

Presiden Mexico yang baharu, Andres Manuel Lopez Obrador meraikan kemenangannya bersama penyokongnya di Zocalo Square, Bandar Mexico pada 1 Julai 2018. – AFP

“Projek negara baharu kami berusaha bagi demokrasi tulen. Kami tidak berhasrat mewujudkan kepimpinan diktator, sama ada terbuka atau tersembunyi,” katanya kepada penyokong yang bertepuk sorak, berjanji akan melindungi kebebasan, menghormati sektor swasta dan berusaha mendamaikan negeri-negeri yang tidak sepakat.

Beliau juga berikrar akan memburu hubungan ‘sahabat dan kerjasama’ dengan Amerika Syarikat (AS), rakan dagangan utama Mexico, satu perubahan nada dari beberapa ulasan ketika kempen itu apabila beliau berkata akan meletakkan Presiden AS Donald Trump ‘pada tempatnya’. Trump, yang berpegang kepada dasar anti perdagangan, anti penghijrahan beliau telah mengundangkan kemarahan Mexico, namun sepertinya dia bersedia untuk memulakan dengan langkah baik.

“Saya amat menantikan untuk bekerjasama dengan beliau,” kata Trump melalui Twitter. “Banyak lagi yang harus dilakukan yang akan memberi manfaat kepada AS dan Mexico!”

Justin Trudeau dari Kanada memberi ucapan tahniah sementara menekankan kerjasama negaranya dengan Mexico untuk merundingkan semula perjanjian perdagangan NAFTA, iaitu satu usaha yang telah terbantut kerana cubaan untuk memenuhi permintaan Trump. – AFP