Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    AMMSTI bantu bina infrastruktur berdaya tahan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Mesyuarat Menteri-menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN (AMMSTI) merupakan wadah atau platform berpotensi dalam membantu membina infrastruktur yang berdaya tahan, menggalakkan pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan mampan dengan mengambil peluang hubungan rapat negara anggota ASEAN untuk meningkatkan kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan termasuk penggunaan teknologi.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dalam ucapannya ketika menghadiri Mesyuarat AMMSTI-19, secara maya pada hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, hari ini, menyatakan bahawa mesyuarat AMMSTI-19 telah dipengerusikan oleh Menteri Sains dan Teknologi, Vietnam, Tuan Yang Terutama Huynh Thanh Dat, pada tahun ini.

    Yang Berhormat Pengiran Shamhary juga mengongsi perkembangan dan komitmen Negara Brunei Darussalam ke arah pencapaian SDG melalui beberapa inisiatif seperti penubuhan Electric Vehicles Joint Task Force (EJTVF) dan pelancaran Protokol Hijau yang mendukung Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP).

    Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, pengerusi Board of Advisors kepada COSTI (BAC), jawatankuasa-jawatankuasa kecil di bawah COSTI yang disertai oleh pegawai-pegawai kanan kementerian berkenaan.

    Kenyataan menyatakan bahawa hasil daripada mesyuarat itu, antara lain adalah pengesahan laporan Mesyuarat Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN ke-81 (COSTI-81) mengenai pengemaskinian status pelaksanaan inisiatif-inisiatif Keutamaan Tahunan COSTI bagi 2022, pengesahan inisiatif-inisiatif Keutamaan Tahunan COSTI bagi tahun 2023, cadangan laporan untuk memudahkan dan menambah baik akses kepada sumber pembiayaan yang tersedia ada, termasuk Dana Rakan Dialog ASEAN serta meningkatkan lagi penglibatan sektor swasta melalui kaedah kerjasama swasta-awam (PPP).

    Mesyuarat turut memuatkan sesi bertukar pandangan mengenai kaedah memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi dalam mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG) dan pemacuan peralihan kepada ekonomi rendah karbon melalui teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

    Sebelum Mesyuarat AMMSTI-19, COSTI-81 telah bersidang pada 13 sehingga 14 Jun yang telah dihadiri oleh Haji Mohammad Nazri selaku pengerusi Negara Brunei Darussalam bagi ASEAN COSTI. Mesyuarat COSTI-81 pada tahun ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Menteri, Kementerian Sains dan Teknologi, Vietnam, Tuan Yang Terutama Bui The Duy.

    Yang Berhormat Pengiran Shamhary semasa menghadiri Mesyuarat AMMSTI-19 secara maya, kelmarin.– Gambar serahan MTIC
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...